SELAMA sebulan, penyanyi wanita yang terkenal dengan vokal nyaring itu diselubungi trauma sehingga membuatkan dia terpaksa ‘mengunci’ diri dalam rumah apa yang berkemungkinan ada di luar kediaman.
Bagi Ara Johari, bukan mudah sebenarnya untuk dia melupakan insiden menjadi mangsa gangguan seksual seorang lelaki dalam satu kejadian yang berlaku hampir setahun lalu.
Ketika kejadian, Ara atau nama lengkapnya Nurfarrah Izzatie Johari, 27, baru selesai menjayakan persembahan di Nilai, Negeri Sembilan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertindak mencium tangannya sebanyak dua kali dengan penuh rakus.
Bagi Ara sendiri, detik hitam yang berlaku itu sedikit sebanyak memberi pengajaran buat dirinya agar lebih berhati-hati, terutama apabila didekati individu tak dikenali.
Ujar Ara, walaupun trauma yang menghantuinya itu kini sudahpun ‘pudar’, namun dia tetap akan berwaspada terutama apabila dihampiri peminat lelaki, termasuk ketika berada di khalayak ramai agar kejadian serupa tidak berulang.
“Kejadian gangguan seksual yang berlaku terhadap saya pada tahun lalu itu meninggalkan ‘bekas’ dalam diri saya. Selama sebulan saya dihantui rasa trauma gara-gara insiden tersebut.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya memang tidak berani untuk keluar rumah secara sendirian. Takut kejadian sama berulang,” kata penyanyi asal Seri Menanti, Negeri Sembilan itu.
Tambah Ara, dia tidak menyangka perkara sedemikian boleh terjadi pada dirinya, lebih-lebih lagi berlaku di tempat umum dan terbuka.
“Selama ini saya hanya dengar pengalaman dan cerita daripada orang lain yang mengalami gangguan seksual. Tapi akhirnya saya pula yang terkena.
“Kalau sebelum ini saya tidak kisah untuk keluar ke mana-mana sendirian, tapi selepas melalui pengalaman menakutkan itu, saya akan pastikan diri saya sentiasa ditemani,” ujarnya.
Sebagai seorang artis, Ara sedar dengan kemahuan peminat yang ingin mendekati dan mengambil gambar dengannya.
Namun, selepas kejadian tersebut, mahu tidak mahu, dia terpaksa menapis peminat yang ingin bergambar dengannya, terutama golongan lelaki.
“Bukan tidak boleh (bergambar dengannya). Cuma sekarang, saya kena lebih berhati-hati dan akan tapis peminat yang ingin bergambar, terutama lelaki.
“Saya akan pastikan antara kami ada jarak bagi mengelakkan kejadian sama tidak berulang lagi. Tapi saya tidaklah sampai upah pengawal keselamatan untuk mengelak perkara serupa berlaku.
“Cukuplah kalau ada yang menemani saya seperti pengurus, pembantu peribadi serta beberapa kawan untuk menemani saya,” katanya.
Bercerita lebih lanjut, penyanyi yang popular menerusi lagu Bunga itu mendakwa si pelaku telah pun ditahan polis selepas laporan dibuat untuk tindakan lanjut.
Kata Ara, sebagai manusia yang punya hati dan perasaan, dia sebenarnya tidak mahu memanjangkan perkara tersebut dengan membuat laporan polis.
“Awalnya saya tak nak buat laporan polis. Tapi kebetulan ada pegawai di lokasi berkenaan. Jadi, saya terpaksa juga buat laporan selepas diminta berbuat demikian.
“Saya harap si pelaku telah mendapat pengajarannya, begitu juga dengan masyarakat lain. Saya pun tidak mahu dia (pelaku) masuk lokap lama-lama,” tegas Ara menutup perbualan. -HIBGLAM