HAMPIR empat puluh tahun bergelumang dalam dunia seni suara tanah air dan di ceruk mana pun dia melangkah, Anuar Zain tiada galang gantinya.
Buat khalayak, seperti penulis yang lahir sekitar awal tahun 1990-an, Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 54, begitu dikenali dengan identiti dan listrik vokal yang berstatus satu dalam seribu.
Kalaulah ada sistem carta lagu seperti Billboard Hot 100 setiap perayaan hari Krismas menyaksikan lagu All I Want For Christmas nyanyian Mariah Carey meroket di tangga pertama, Anuar bersama rakan duetnya, Ellina juga berpeluang mencipta magis sama menerusi lagu malar hijau mereka, Suasana Hari Raya.
Itu dampak ditinggalkan seorang penghibur hebat seperti Anuar. Sangat ikonik dan seperti dicernakan dalam bentuk fakta dalam perenggan pertama, tiada galang gantinya.
Empat dasawarsa menyinari kehidupan peminat tanpa mengenal erti lelah, walaupun selama lebih kurang 10 tahun menyepikan diri sekitar 1980-an atas tuntutan kerjaya di langit biru, cinta Anuar terhadap dunia nyanyian terus dan terus bersemarak.
Signatur, takkan rock
Khalayak senang dengan signatur nyanyiannya yang tersendiri, namun pernah juga terlintas dalam fikiran sebilangan peminat, bagaimana agaknya jikalau anak kelahiran Merlimau, Melaka itu melakukan pusingan plot terhadap kecenderungan genre muziknya.
Maksudnya, daripada kelaziman balada atau R&B kepada jalur muzik yang tidak pernah terlintas di fikiran langsung. Barangkali genre rock.
Jawabnya, dia tidak mahu mengambil risiko akan sesuatu yang tidak mungkin dikerjakannya kerana tidak mahu menghampakan diri sendiri apatah lagi peminat di luar sana.
Lagu rock ini bergantung, saya suka soft rock. Paling saya suka lagu Kamelia. Tapi kalau saya nyanyi dengan cara saya, habis nanti! (ketawa).
“Saya tak berani nak nyanyi. Genre muzik tertentu itu suci hanya untuk orang tertentu,” katanya.
Jelas Anuar, dia suka mendengar banyak lagu bergenre rock, namun untuk menyanyi atau merakamkan, itu tidak mungkin kerana sangat menghormati mereka yang berada di landasan muzik tersebut.
“Kita sebagai penyanyi kena sedar kemampuan kita. Suara saya bukan untuk genre rock. Mereka yang bervokal rock ini khas. Bukan senang nak nyanyi.
Tapi saya suka dengar beberapa lagu. Bukan jiwa saya, tapi banyak juga saya boleh dengar,” ujarnya pada sesi santai bersama media sempena promosi Konsert AZ40 Up Close & Personal, baru-baru ini.