Anak Ain Edruce demam panas, diserang sawan

BAGAI mahu gugur jantung, itu yang dialami pelakon dan pengacara Ain Edruce apabila anak kesayangannya, Soraya diserang sawan berikutan demam panas.

Lebih mencemaskan, ketika kejadian semalam, selebriti tinggi lampai berusia 33 tahun itu tiada di rumah kerana mengacarakan program Melodi dan bergegas pulang selepas dihubungi suaminya, Amirul Hafiz.

Cerita hari ini (semalam). Soraya demam sudah tiga hari. Sekitar pukul 4 pagi semalam, demamnya naik sehingga 40 darjah Celsius. Dan bagi ubat pun tidak surut-surut (suhu). Dia pun nampak penat sangat dan tidur.

“Jadi saya tidak mahu kacau dia. Sekitar pukul 10.30 pagi, dia bangun tidur dan nampak gembira. Hati saya tenang sedikit. Jadi saya bersolek untuk pergi ke set Melodi (mengacara).

“Dah sampai set dan berlatih dengan Bell Ngasri, dapat panggilan telefon Soraya masuk hospital. Suami kata anak kena sawan. Gugur jantung saya,” tulisnya menerusi satu hantaran dalam Instagram.

Ujar Ain atau nama lengkapnya Nurulain Edruce itu lagi, dia terpaksa meninggalkan set Melodi dan bergegas ke hospital untuk bersama dengan anaknya.

Tuhan sahaja tahu perasaan saya ketika itu. Terima kasih pasukan Melodi sebab faham situasi saya. Terima kasih kepada Bell Ngasri kerana jadi penyelamat saya,” katanya.

Menerusi hantaran berbeza, Ain turut berkongsi video rakaman CCTV di rumahnya apabila menunjukkan situasi kelam kabut suaminya mendukung Soraya yang diserang sawan untuk dibawa ke hospital.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan Hafiz yang memakai kain pelikat, kelihatan tidak tentu arah bersama seorang pembantu, sambil mendukung Soraya yang dilihat lemah.

Sementara itu, Ain ketika dihubungi HibGlam bersyukur apabila keadaan anaknya semakin pulih, malah Soraya sudah kembali aktif apabila demamnya semakin pulih.

Alhamdulillah, pagi ini Soraya tidak lagi demam dan semakin ceria. Dia pun sudah kembali aktif dan jadi diri sendiri (cergas). Dah mula merayau satu hospital.

“Doakan supaya Soraya cepat sihat ya,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok