GURAUAN pelakon sensasi, Zarina Anjoulie supaya Suria FM mengambilnya bekerja sebagai penyampai radio ketika meninggalkan komen membabitkan isu penamatan kontrak Tyzo mendapat perhatian netizen.
Kata pemilik nama sebenar Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 36, andai diambil bekerja, dia akan melaksanakan amanah tersebut dengan sepenuh hati.
Ambil aku jelah jadi deejay radio. Aku ni dah la janda sendu, miskin pula tu”.
“Insya-Allah aku akan berikan yang terbaik,” tulisnya dalam ruangan komen laman sosial sebuah portal hiburan.
Respons itu ditinggalkan Zarina dalam hantaran yang menunjukkan video Pengerusi Star Media Radio Group (SMRG), Datuk Dr. Mohd Aminuddin memberikan kenyataan dalam sidang media, semalam.
Menerusi video berkenaan, Aminuddin menyifatkan prestasi penyampai radio DJ Lin atau Rosalinda Abdul Majid cemerlang sehingga tiada sebab menamatkan khidmatnya walaupun wujud gesaan pihak tertentu.
Dilihat cuba meredakan ketegangan isu yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu, gurauan Zarina yang mesra disapa Anju itu mengundang perhatian netizen.
Rata-rata warga maya terhibur dengan gurauan bersahaja aktres berusia 38 tahun itu yang menggunakan ‘modal’ statusnya sebagai ibu tunggal atau janda.
Malah, komennya mengundang lebih 40 respons peminat yang menyokong dan berharap gurauan aktres sensasi tersebut menjadi kenyataan.
“Saya tak dengar radio ni Anju, tapi kalau kau jadi DJ, saya yang duduk Sabah ‘confirm’ mahu dengar,” kata seorang pemilik akaun Instagram.
“Anju kalau jadi deejay radio sah dapat rating tertinggi, pecah rekod terus,” ujar peminat lain.
“Anju jadi penyampai, saya yang tak dengar radio pun terus layan,” ulas seorang netizen.
Semalam, Suria FM mengadakan sidang media khas susulan kontroversi penamatan kontrak Tyzo selain menjawab kecaman ramai terhadap DJ Lin yang juga pengurus besar saluran terbabit. – HIBGLAM