Allahyarham wartawan hiburan, Fiza Kamaruddin selamat dikebumikan

SELEPAS seminggu, jenazah Allahyarham Siti Nor Hafizah Kamarudin atau lebih dikenali sebagai Fiza Kamarudin yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Charing Cross di London, United Kingdom selamat dikebumikan pukul 12.50 tengah hari di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih.

Lebih 200 hadir mengiringi Allahyarham termasuk rakan wartawan selain keluarga.

Awal pagi tadi, jenazah tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada pukul 6.47 pagi daripada London.

Selepas selesai urusan di KLIA, Allayahram terus dibawa ke Masjid Kampung Baru untuk solat jenazah.

Terdahulu, industri kewartawanan tanah air berduka selepas dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di London ketika bercuti di sana akibat pendarahan otak.

Fiza, 40, dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.

Allahyarham merupakan bekas pesakit kanser payudara namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.

Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London kali ini merupakan hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok