Abang Adik pecah rekod Taiwan, Malaysia

FILEM Abang Adik arahan sutradara kelahiran Taiping, Perak, Lay Jin Ong melakar sejarah tersendiri apabila memecah rekod panggung di Taiwan dengan kutipan NT$90mil (RM13.5 juta) dalam tempoh tiga minggu tayangan.

Berita gembira itu sekali gus menjadikan Abang Adik karya tempatan pertama memegang rekod tersebut.

Manakala, di Malaysia pula, Abang Adik berjaya meraih kutipan RM5.2 juta untuk 24 hari tayangan.

Jin Ong menzahirkan rasa teruja kerana tidak menyangka naskhah sentuhannya itu berjaya memecah rekod di luar negara.

“Pencapaian ini sangat manis buat kami apatah lagi menjadi filem pertama Malaysia yang memegang rekod tersebut.

“Kami sangat berterima kasih dengan segala respons dan komen positif yang diberikan penonton,” katanya pada sidang akhbar majlis penghargaan dan apresiasi Abang Adik, hari ini.

Ujarnya, kejayaan tersebut juga diharap dapat memberi 1,001 insipirasi dan semangat buat lebih ramai lagi pengarah tempatan menghasilkan karya lebih hebat.

“Dengan kutipan memberansangkan ini, kami berharap penonton terus menyokong pembikinan filem Malaysia lain.

“Harap kejayaan ini membuka mata banyak pihak bahawa filem tempatan juga setanding dengan kehebatan naskhah antarabangsa,” katanya lagi.

FILEM garapan sutradara Lay Jin Ong ini meraih kutipan RM5.2 juta dalam tempoh 24 hari tayangan di seluruh pawagam tanah air.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman berkata, penceritaan yang disampaikan dan cara diterjemahkan kepada penonton sangat bagus.

“Penceritaan sangat penting dalam sesebuah karya. Abang Adik bukan filem
mengenai individu tetapi naskhah tentang Malaysia.

“Saya kagum filem ini dapat sambutan hebat. Cabaran kita selepas ini adalah untuk hasilkan lebih banyak karya yang lebih hebat.

“Secara peribadi, filem ini mengggunakan teknik kamera yang sangat bagus. Pengarah membiarkan penonton masuk dalam emosi setiap karakter,” ujarnya.

Abang Adik yang berlatarkan kawasan tersembunyi di tengah ibu kota mengangkat kisah dua lelaki tanpa dokumen pengenalan dirimengharungi kehidupan sukar.

Tanpa dokumen, mereka berdepan risiko ditahan pihak berkuasa biarpun dilahirkan sebagai anak Malaysia membuatkan filem gandingan aktor tempatan, Jack Tan bersama Kang Ren Wu itu sangat menyentuh hati.

Pada November lalu, Kang Ren diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem terbabit.

Abang Adik turut mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama pada Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.

Naskhah berkenaan turut membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry bagi kategori filem cereka terbaik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok