FILEM Anak Perjanjian Syaitan 2 meraih kutipan memberangsangkan sebanyak RM2.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan bermula 4 Januari lalu.
Pengarahnya, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata, pencapaian itu disifatkan cukup membanggakan selepas empat tahun tidak menghasilkan filem, sekali gus menjadi pemangkin semangat.
“Pungutan lebih RM2 juta dalam tempoh tak sampai dua minggu tayangan di 130 pawagam adalah kejayaan bersama semua penggerak filem ini termasuk pelakon, kru dan syarikat produksi Grand Brilliance Studio.
“Tambahan pula Anak Perjanjian Syaitan 2 yang bergenre seram bersama suntikan elemen kerohanian menampilkan konsep berbeza sejajar dengan kemunculan semula saya selepas empat tahun.
“Sambutan ini turut menunjukkan karya bersandarkan kisah benar yang menerapkan elemen kerohanian seperti mengangkat ayat suci al-Quran mempunyai tarikan tersendiri,” katanya kepada HibGlam.
Sutradara yang sebelum ini menghasilkan naskhah genre sama termasuk Jangan Pandang Belakang dan Niyang Rapik berharap penonton terus memberikan sokongan terhadap karya sekuel Anak Perjanjian Syaitan 1 yang menemui khalayak pada Oktober 2019.
Sementara itu, katanya penjiwaan cemerlang barisan pelakon iaitu Eyka Farhana, Alif Satar, Fasha Sandha, Azlan Komeng, Dian P Ramlee, Azizah Mahzan dan Shaharuddin Thamby menggandakan lagi elemen misteri.
“Setiap pelakon memberikan sepenuh hati sepanjang penggambaran. Biarpun berdepan beberapa insiden, mereka mampu menyempurnakan setiap babak dengan baik,” ujarnya.
Filem itu mengisahkan Azlinda lakonan Eyka cuba mengelakkan diri daripada terus dihantui kejadian mistik sejak kecil dengan pelbagai cara.
Walaupun disahkan mengalami penyakit keresahan atau ‘anxiety’, dia yakin gangguan yang sentiasa menghantuinya itu ada kaitan dengan sejarah lampau ibu bapanya.
Atas niat mahu kembali menjalani kehidupan normal, Azlinda perlu melawan perjanjian yang menjadi sebahagian darah dagingnya, namun usaha itu bukan mudah apabila terpaksa berdepan banyak rintangan. – HIBGLAM