Zizi Kirana okey suami tayang badan

Saya tidak pernah melarang atau meletakkan syarat terhadap Yusuf dalam hal melibatkan kerjaya.”

Itu respons penyanyi Zizi Kirana apabila suami tersayang, Yusuf Bahrin memenuhi tuntutan filem  The Lord Musang King mempamerkan sebahagian tubuhnya

Pemilik nama penuh Nur Fazelah Mat Tahir itu bagaimanapun menzahirkan rasa syukur apabila belahan jiwanya itu melibatkan dirinya dalam setiap perbincangan terutama membabitkan hal kerja.

“Saya percayakan Yusuf dan tidak pernah melarang atau meletakkan sebarang syarat.

Namun, dia rajin bertanya atau memaklumkan kepada saya apa yang terjadi seperti adegan buka baju dalam filem baharunya. Kadang-kala dia rajin beritahu apa yang terjadi di set agar saya tidak risau.

“Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang menghargai dan menghormati sekali gus membuatkan rasa percaya kami semakin kuat,” katanya kepada HibGlam.

Memahami tugas seorang aktor, pelantun lagu Eh itu cuba sedaya upaya untuk tidak mengganggu suaminya ketika sedang bekerja kecuali jika berlaku kecemasan yang memerlukan respons segera.

“Saya memang jenis tidak akan telefon atau mesej Yusuf ketika dia bekerja. Saya tidak mahu mengganggu fokusnya kerana saya juga begitu jika sedang bekerja.

Cuma saya hanya akan telefon atau mesej sekiranya berlaku kecemasan. Itu sahaja. Selebihnya saya biarkan dia bekerja dan jayakan watak yang digalas dengan sempurna tanpa gangguan.

“Kalau Yusuf balik, barulah dia bercerita tentang apa yang berlaku di set penggambaran dan benda-benda lain,” katanya pada majlis Malam Gala The Lord Musang King, baru-baru ini.

Menerusi filem The Lord Musang King itu, Yusuf memegang watak sebagai Haikal, anak pekebun durian yang berjaya namun diperdaya dan dipenjarakan.

Terdapat babak yang menuntut Yusuf membuka baju demi menjadikan watak dan situasi itu tidak janggal.

Filem yang menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Korea itu merupakan kolaborasi pertama Malaysia dan Korea Selatan.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok