[VIDEO] Liza Hanim sebak hampir tinggalkan GV10

SEBAK berkongsi perjalanan karier, penyanyi Liza Hanim mengakui pernah terfikir untuk meninggalkan dunia seni namun melupakan hasrat tersebut berikutan sokongan padu peminat.

Begitupun katanya, perasaan itu muncul semula semasa berada dalam pertandingan All Stars Gegar Vaganza (GV10) namun sedaya-upaya dilawan sehingga ke pentas akhir.

“Memang ada momen-momen dalam karier saya yang rasakan inilah masanya untuk berhenti menyanyi.

“Ada segelintir atau sekumpulan yang percaya dan masih mahukan saya menyanyi. Itu yang buat saya meneruskan perjalanan ini.

“Beberapa minggu lalu, ada detik kesukaran perasaan tersebut datang balik tetapi saya perlu lawan untuk sampai ke malam ini (final). Itu target saya,” katanya kepada HibGlam dalam nada sebak.

Pemilik nama asal Haliza Hanim Abdul Halim itu mengakui perasaan tersebut mengganggu fikiran sehingga berasakan tidak mampu mengadakan konsert seperti rakan seangkatan lain.

“Orang lain lama dalam industri dah buat konsert banyak kali tetapi saya tiada peluang.

“Kadang-kadang yang buat tiada peluang kerana rasa saya layakkah? Sokongan bercampur-baur, ada yang okey ada yang tidak,” ujar pemenang tempat keempat GV10 itu.

Naib Juara Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu menambah, segala suka duka sepanjang 27 tahun berkarier akan dikongsikan sepenuhnya menerusi konsert sulung pada 4 Februari kelak.

“Itu yang saya rasa mahu kongsikan perjalanan turun naik dalam konsert pertama saya nanti. Itu kemuncaknya.

“Seperti saya cakap, ada penyokong dan penggemar yang sentiasa sokong serta berikan semangat luar biasa membuatkan saya teruskan.

“Saya bersyukur dan mahu menyambut ulang tahun ke-27 dalam industri semasa konsert saya nanti,” tuturnya.

Tidak pulang tangan kosong, malam tadi Liza bersama finalis GV10 turut menerima wang tunai RM10,000, pakej percutian tajaan KakiJalan dan trofi sumbangan Astro. -HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok