PELAKON Angeline Tan tidak dapat menahan sebak ketika menadahkan tangan memohon doa di hadapan Kaabah buat pertama kali dalam hidupnya.
Momen sayu itu dikongsi suaminya iaitu pengarah dan pelakon Sabri Yunus menerusi sebuah video dalam TikTok yang memaparkan kesungguhan aktres terbabit berdoa sehingga bergenang air mata.
“Air matamu air mataku jua, semoga Allah memelihara kita,” tulis Sabri ringkas sebagai kapsyen video tersebut.
Tinjauan HibGlam menerusi ruangan komen video mendapati rata-rata netizen mendoakan agar urusan ibadah umrah pasangan merpati dua sejoli itu dipermudahkan.
Pengikut laman sosial Sabri juga menzahirkan perasaan terharu kerana Angeline terpilih untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.
“Alhamdulillah, aturan Allah tak ada siapa yang tahu, rahsia Dia semuanya. Allahuakhbar.
“Bertuahnya Angeline terpilih menjadi tetamu Allah. Moga Angeline kekal Islam hingga ke syurga,” komen seorang peminat.
“Alhamdulillah, air mata menjadi saksi keikhlasan Ardini, terima kasih menjadi saudara Islam kami, teruskan mendalami Islam, moga syurga jua buatmu,” komen netizen lain.
Angeline atau nama Islamnya, Ardini Angeline Tan, 56, terbang ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah buat pertama kali pada 10 Disember lalu.
Ditemani suami tercinta, Sabri Yunus, 65, aktres yang baru memeluk Islam sekitar tiga bulan lalu itu meluahkan rasa syukur menerima pakej tersebut daripada penaja sebagai hadiah perkahwinan.
Terdahulu, Angeline memeluk Islam pada 26 September lalu dan selamat bernikah dengan Sabri di Perlis pada 14 Oktober lalu.
Pernikahan pasangan yang kerap bergandingan sejak era sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu mendapat perhatian ramai. – HIBGLAM
@sabriiyunus♬ original sound – Sabri Yunus