TAK perlu bandingkan saya dengan artis lain. Masing-masing ada kelebihan.”
Demikian kata penyanyi Nadeera Zaini apabila dirinya kerap dibandingkan dengan penyanyi lain termasuk senior.
Menurut Nadeera atau nama sebenarnya, Farah Nadeera Zaini tindakan membanding-bandingkan artis tidak wajar dilakukan kerana setiap individu punya keistimewaan masing-masing.
“Saya tahu saya kerap dibandingkan dengan rakan baik dan artis lain.
Bagi saya, mereka ada kelebihan masing-masing dan saya pun ada kekurangan.
“Apapun, saya bersyukur orang luar bandingkan saya dengan mereka yang hebat,” katanya kepada HibGlam ketika Anugerah Podcast Syok 2023 baru-baru ini.
Dalam pada itu, juara Big Stage musim kelima itu mengakui mengambil pendekatan tidak ambil pusing sekiranya perbandingan yang dilakukan netizen itu mengguris hatinya.
“Selalu juga saya baca komen dalam media sosial.
Kalau komen itu melampau dan boleh melukan hati, saya tak ambil pusing,” ujarnya.
Sebelum ini, penyanyi berusia 30 tahun itu kerap dibandingkan dengan Aina Abdul dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sehingga menjadi bualan hangat dalam media sosial.
Malah, Nadeera turut dikaitkan dengan Jaclyn Victor apabila berkongsi pentas All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada minggu kesembilan.
Difahamkan, orang ramai mula membandingkan kelunakan suara Nadeera dan Jaclyn yang ketika itu berdepan masalah Laryngitis sehingga kehilangan suara beberapa hari sebelum acara itu berlangsung. – HIBGLAM