PENYANYI Iman Troye mendedahkan sudah sebulan tidak memandu kereta berikutan masih trauma selepass terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan kenderaan dipandunya hilang kawalan pada awal November lalu.
Meskipun masih dihantui perasaan takut, Iman cuba memberanikan diri memegang stereng sejak beberapa hari lalu bagi memudahkan urusan kerja selain enggan menyusahkan keluarga.
“Sejujurnya saya masih trauma walaupun kemalangan tersebut telah sebulan berlalu, malah kereta merah jambu kesayangan saya juga belum keluar dari bengkel.
“Memang saya menggeletar selepas sebulan tak memandu, tapi kena juga atasi ketakutan sebab tiada orang boleh bawa saya ke hulu ke hilir kerana masing-masing sibuk bekerja.
“Pada awalnya perlukan kawan duduk tepi ketika memandu sebab saya mudah terkejut tetapi sekarang makin okey,” katanya selepas pelancaran program PTTI Pecutan Akhir SPM NTV7, di Sri Pentas, semalam.
Dalam kejadian tersebut, Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 21, bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan serius namun ada kesan lebam, kaki bengkak serta telinga berdesing selama beberapa hari.
Melihat keadaan kenderaannya, ramai menyarankan agar dia menjual sahaja kereta tersebut tetapi dia enggan berbuat demikian disebabkan nilai sentimental.
“Kepala belah kanan saya terhentak ke kanan tingkap sebelum ‘airbag’ keluar dan enjin pula berasap. Alhamdulillah kecederaan saya tak serius, telinga pun sudah pulih.
“Memang ada yang sarankan saya lepaskan sahaja kereta tetapi berat hati sebab ini kenderaan pertama saya yang menyimpan 1,001 memori.
“Sepanjang dua tahun, kereta inilah yang saya pandu untuk mencari rezeki , berulang-alik menjalani latihan serta bawa baju termasuk ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) Februari lalu,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai pembabitan dalam program Media Prima Berhad (MPB) bersama PTTI iaitu pusat peningkatan akademik dan pakar untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Iman menggalas tanggungjawab sebagai duta.
Kata Iman, bersama penyanyi MK K-Clique, mereka memberi pengalaman interaktif kepada pelajar membuat persediaan akhir sepanjang 16 episod di ntv7, pada Sabtu dan Ahad bermula 9 Disember ini, pukul 10 pagi. – HIBGLAM