PELAKON Fazura nekad mengambil tindakan undang-undang susulan gambar dan identitinya digunakan pihak tidak bertanggungjawab sebagai bahan promosi sejenis produk wangian.
Perkara tersebut didedahakn pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin menerusi Instagram dengan memetik nama peguamnya.
“Kepada semua yang nampak produk wangian dijual dengan harga RM1 menggunakan nama dan gambar saya, tolong jangan beli.
“Ramai DM (mesej langsung) semua kena tipu. Kepada penipu saya mahu tegaskan dan buat pengumuman bahawa tidak halal duit yang awak dapat dan makan di dunia dan akhirat kerana menggunakan nama serta gambar saya secara haram.
“Saya sudah bagi amaran sebelum ini dan nampaknya awak mencabar saya. Tunggu tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam masa sama, peguamnya Fakhrul Azman Abu Hassan turut memberikan amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab bakal meneruskan tindakan mahkamah.
“Siap sedia ‘scammer’ (penipu) berkaitan. Kami akan ambil tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Dalam video TikTok yang menggunakan nama dan gambar isteri kepada aktor Fattah Amin tersebut, scammer terbabit mempromosikan produk wangian dengan harga runtuh.
Penipu mengakui ada bekerjasama dengan pelakon filem Gol & Gincu itu bagi meyakinkan peminat membeli produk jualannya. -KOSMO! ONLINE