Tiada sebab untuk membenci, bermusuh – Jovian Mandagie

“Kami masih bersama sebagai sebuah keluarga dan lakukannya kerana anak.”

Itu kata pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie yang memilih untuk tidak bermasam muka dan mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri, Nina Ismail Sabri.

Jovian atau nama sebenarnya Mohd. Ridhwan berkata, hubungannya dengan Nina sama seperti dahulu malah masih menghadiri majlis makan malam dan keluar bersama keluarga meskipun sudah bercerai.

“Walaupun sudah berpisah, kami tetap bahagia. Sebenarnya tadi pun kami baru sahaja balik makan malam bersama keluarga sempena meraikan hari jadi adiknya, Dafi.

Kami masih bersama sebagai sebuah keluarga dan kami lakukan itu kerana anak, Jeanelle. Lagi pula keluarga saya dan Nina  sangat rapat. Rasanya tidak adil kalau kami bergaduh dan keluarga pun terkena tempiasnya.

“Kita jaga hubungan itu agar keluarga, rakan, peminat selesa bersama. Nina juga sangat menyokong saya khususnya dalam perniagaan sampai ke hari ini. Kalau ada sesi siaran langsung untuk mempromosikan barang jualan, dia pun turut serta,” katanya kepada HibGlam.

Profesional dan tidak menyindir antara satu sama lain, jejaka berumur 37 tahun itu menegaskan tiada sebab untuk dia membenci bekas isterinya itu sebaliknya merasakan hubungannya dengan Nina sentiasa dilindungi Allah meskipun kini hanya sebagai sahabat.

Kami telah berkahwin selama 10 tahun. Bila berpisah, tak ada sebab untuk kami saling membenci dan bermusuh. Cuma mungkin jodoh kami berpanjangan sebagai kawan dan Allah jaga hubungan itu.

“Mungkin kami sudah matang dan sangat menyayangi keluarga masing-masing. Walau sudah berpisah, kami masih berjumpa,” jelasnya pada majlis penyampaian anugerah Shopee Super Awards 2023, semalam.

Jovian dan Nina berkahwin pada 11 Disember 2013. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Jeanelle Nika Mandagie yang kini berusia enam tahun.

Semasa majlis berlangsung malam tadi, Jovian turut menerima anugerah industri e-dagang terunggul Shopee Super Awards 2023 berikutanprestasi cemerlang perniagaannya di platform itu sepanjang tahun ini.

Selain Jovian, antara selebriti yang turut menerima penghargaan tersebut ialah Neelofa, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Zoey Rahman dan Ainul Aishah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok