Tak faham bahasa pasar, isteri ingat cerai – Azlan Komeng

KAMI bergaduh soal bisnes. Saya cakap kepada isteri (Nur Nilam), engkau buat jalan engkau, aku buat jalan aku. Saya tak sebut pun perkataan cerai atau talak. Dia ingat saya ceraikan dia.”

Itu penjelasan pelakon Azlan Komeng terhadap dakwaan lafaz cerai yang dilakukan terhadap isterinya, Nur Nilam Ortiz, baru-baru ini.

Azlan atau nama lengkapnya Muhammad Azlan Kamiran, 47, ketika ditemui HibGlam berkata, timbul salah faham apabila isterinya menganggap telah pun diceraikan ketika mereka bergaduh.

Bagaimanapun, mereka sudah pun merujuk perkara tersebut ke mahkamah syariah dan mendapati tiada perceraian berlaku.

Kami kemudiannya merujuk perkara tersebut ke mahkamah syariah. Alhamdulillah, rumah tangga kami tiada masalah dan sudah pun diselesaikan di mahkamah,” katanya.

Jelas Azlan lagi, ramai tidak tahu isterinya bukanlah orang Melayu, sebaliknya berketurunan Siam dan Sepanyol. Malah wanita itu hanya mempelajari bahasa Melayu menggunakan buku atau bahasa formal.

Jadi bila bercakap bahasa pasar (tidak formal), dia selalu salah faham,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Azlan memberitahu punca dia dan juga isterinya bergaduh adalah disebabkan tidak sehaluan dalam perniagaan.

“Punca sebenarnya mengenai perniagaan. Kami sekarang perlahan-lahan ada sertai acara jualan makanan. Isteri banyak terbabit dalam perniagaan besar, saya pula kecil.

“Jadi, kami mempunyai jalan berbeza dalam mengendalikan bisnes sehingga boleh bergaduh. Jadi saya cakap pada isteri, engaku buat jalan engkau, aku buat jalan aku. Itu yang menjadi punca dia ingat saya ceraikan dia,” jelas Azlan.

Untuk meredakan hati, Azlan telah keluar rumah kerana tidak mahu bergaduh. Namun, isterinya telah membuat kenyataan ketika dia tiada di rumah.

“Memang terkejut jugalah. Isteri sebenarnya tidak bersetuju sekiranya kami bercerai. Lagi pun dia faham perkara seperti itu tidak boleh dibawa main. Jadi kami memutuskan untuk rujuk kepada pihak yang lebih arif.

Hakim (mahkamah) pun gelak bila saya ceritakan semuanya. Jadi, alhamdulillah perkara ini sudah pun selesai apabila mahkamah memutuskan tiada perceraian yang terjadi.

“Sebab saya tidak sebut langsung perkataan cerai atau talak. Maafkan isteri saya kerana terlalu cepat membuat andaian,” jelasnya.

Pada masa sama, Azlan yang ditemui di tayangan perdana filem terbaharunya, Anak Perjanjian Syaitan 2, malam tadi juga menolak dakwaan segelintir pihak berhubung kewujudan orang ketiga dalam rumah tangganya.

Sebenarnya tiada orang ketiga, bekas isteri saya pun tak pernah mengganggu. Kalau betul saya masih ada berbuat jahat dengan perempuan selepas saya bernikah dengan Nur Nilam, keluarkan.

“Selepas bernikah dengan Nur Nilam, kalau benar ada skandal, saya boleh mengaku, tiada masalah,” katanya.

Sebelum ini, Nur Nilam mengesahkan sudah bercerai dengan Azlan dan memaklumkan hadir hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membuat pengesahan lafaz cerai pada 30 November lalu.

Sebagai rekod, Azlan dan Nur Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok