SIAPA boleh lupa dengan penyanyi yang memiliki vokal lantang dan tinggi itu. Lantunan suaranya dengan lagu yang menusuk kalbu menjadi signatur buat penghibur berkulit hitam manis itu.
Selepas 30 tahun matang dalam industri seni, pemilik nama Nourul Depp yang dahulunya dikenali sebagai Nurul itu masih memiliki aura tersendiri, malah tidak sedikit pun melunturkan kekuatan vokal yang dimilikinya, persis ketika zaman anak dara.
Walaupun tidak seaktif dahulu dalam bidang nyanyian, lebih-lebih lagi selepas penyanyi asal Pulau Pinang itu berhijrah untuk menetap di Bali, Indonesia bersama keluarganya, namun kerjaya yang memuncakkan namanya itu tidak pernah sesekali dilupakan.
Mungkin ramai yang beranggapan Nourul atau nama lengkapnya Noorulhuda Abdul Wahab, 46, sudah tidak lagi berminat untuk meneruskan karier nyanyian, sekali gus meletakkan titik noktah terhadap kerjayanya.
Masih menyanyi
Namun, Nourul berkata, mana mungkin dia dapat melupakan kerjaya yang sudah sebati dengan dirinya itu sejak kecil lagi.
“Saya tidak pernah berhenti menyanyi. Walaupun bukan di pentas besar, tetapi saya tetap akan menyanyi walaupun di dapur atau dalam bilik air.
Saya masih lagi menerima jemputan untuk membuat persembahan tertutup untuk majlis-majlis korporat dan akan terbang pulang ke Malaysia untuk memenuhi undangan.
“Alhamdulillah, sehingga kini orang masih ingat dan tidak pernah melupakan saya,” katanya.
Melihat kemeriahan industri yang tidak putus-putus dengan penganjuran konsert oleh rakan-rakan artis, Nourul juga tidak terkecuali menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert solonya suatu hari nanti.
Konsert solo
Tambahnya, usia penglibatan dirinya dalam industri yang sudah mencecah 30 tahun boleh menjadi faktor utama dia perlu mengadakan sebuah konsert sebagai tanda sayang dan terima kasih terhadap peminat yang tidak putus-putus menyokong perjalanan kariernya.
Sedar tak sedar sudah 30 tahun saya berada dalam industri. Bohong kalau saya tidak menyimpan impian untuk mengadakan konsert solo.
“Tapi saya tahu untuk merealisasikan perkara itu bukan mudah. Perlu ada perancangan dan modal yang besar untuk menjayakannya. Manalah tahu jika ada pihak yang berminat untuk menaja konsert saya nanti.
“Insya-Allah, doakan suatu hari nanti moga-moga saya dapat menghiburkan peminat saya dalam sebuah konsert, walaupun tidaklah berskala besar, dapat membuat persembahan ‘mini concert’ pun sudah memadai,” jelasnya.