PERJALANAN seni yang dilalui penyanyi dengan vokal lunak. Lah Ahmad sepanjang 2023, disifatkan penuh dengan warna-warni.
Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, peluang dan rezeki yang hadir pada 2023 disifatkan cukup luar biasa.
Lah Ahmad turut mendefinisikan 2023 sebagai ‘tahun tidak disangka-sangka’ apabila urusan serta rezekinya dipermudahkan segala segi.
Lebih menggembirakan, pemilik nama lengkap Abdullah Ahmad, 43, juga dapat merealisasikan impian mengadakan konsert solo, bukan hanya sekali, tetapi sebanyak dua kali pada tahun ini.
Kata penyanyi tinggi lampai itu lagi, perjalanan karier seninya sebelum ini, terutama sewaktu dunia dilanda Covid-19 dan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan seperti yang dinikmati kini.
Kata Lah, untuk mendapatkan tawaran membuat persembahan, walaupun sebulan sekali pun cukup sukar, sehingga dia terpaksa ‘sambar’ apa sahaja tawaran dengan sekecil-kecil amaun untuk menampung kehidupan bersama keluarga.
“Nak dapat tawaran persembahan pun susah ketika itu. Namun, selepas PKP, barulah permintaan itu ada.
“Alhamdulillah saya ditawarkan untuk membuat konsert solo, 25 Years Lah Ahmad Live di Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC) pada Januari 2023 selama dua malam.
Tiket sold out
“Seterusnya pada Oktober, saya beroleh rezeki mengadakan sebuah lagi konsert solo, Lah Ahmad Jatuh Cinta di Panggung Sari, Istana Budaya.
“Tahun ini juga saya ada keluarkan album solo berjudul Jatuh, selepas 25 tahun berkecimpung dalam industri seni.
“Semua perkara itu merupakan pencapaian yang sudah lama saya inginkan akhirnya tertunai,” ujar Lah.
Dihujani rezeki dan peluang. Lah menjadi lebih menghargai dan bersyukur atas nikmat Ilahi.
“Apabila melalui zaman susah, kita akan lebih menghargai apa yang kita ada,” jelasnya.
Menutup tirai tahun 2023, Lah bercita-cita untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan muzik R&B melalui kerjasama dengan kumpulan Ruffedge dan Innuendo dengan menganjurkan sebuah konsert berskala besar.
Melihat 2023 yang menumbuhkan banyak penganjuran konsert menghimpunkan kumpulan-kumpulan rock mendorong Lah untuk untuk menggabungkan kumpulan yang membawakan genre muzik R&B di atas satu pentas satu hari nanti.