Tahun 1990-an paling menyakitkan – Aznil Nawawi

KEDUDUKAN yang diraih insan yang digelar pengacara nombor satu negara bukannya datang bergolek dan tidak hadir dalam sekelip mata.

Sebelum berada pada tahap hari ini, personaliti serba boleh itu pernah melalui jatuh bangun dalam industri sehingga hampir meranapkan kerjayanya.

Namanya yang suatu ketika dahulu pernah berada di puncak sekitar tahun awal 1990-an, tiba-tiba jatuh merundum seiring peredaran masa.

Ditambah dengan beberapa krisis yang melanda negara pada ketika itu, nama Datuk Aznil Nawawi hampir terkubur, malah mungkin akan terus lenyap dari radar gelanggang seni.

Kata Aznil, sepanjang tiga dekad berkecimpung dalam industri, pelbagai susah payah telah pun ditempuhi, sekali gus mengajarnya untuk beringat bahawa hidup itu umpama putaran roda.

“Betul, kita tidak selamanya akan berada di atas. Ada masanya kita juga akan berada di bawah. Saya pernah meniti zaman kegemilangan pada era 1990-an, sebelum tiba-tiba jatuh tersungkur.

Kejatuhan paling menyakitkan yang pernah saya alami adalah pada saat ekonomi dunia berdepan dengan kemerosotan. Hidup ketika itu sangat sukar dan mencabar apabila saya kehilangan pekerjaan.

“Lebih mencabar, ketika itu saya sudah pun berumah tangga dan memiliki cahaya mata tetapi tiada pekerjaan. Saya terikat dengan komitmen dan hutang sehinggakan duit simpanan habis,” ujar personaliti yang mesra disapa Paknil itu.

Bagaimanapun, kata anak kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu, fasa sukar yang dilalui sedikit sebanyak telah menjadikan dirinya insan yang tabah.

SEHINGGA hari ini belum ada yang mampu mengambil alih takhta Aznil Nawawi sebagai pengacara nombor satu negara.

Zaman kejatuhan Aznil semakin memburuk sehingga awal tahun 2000-an apabila pembabitannya dalam industri penyiaran sebagai pengacara kian suram.

Peluang kedua

Menganggap apa yang berlaku berpuca daripada kesalahan sendiri, kata Aznil, dia menyimpan ego yang tinggi apabila masih berpendapat menjadi pengacara dengan imej ‘mulut jahat’ sebagai strategi yang boleh diterima ramai.

“Ternyata tanggapan saya salah dan akhirnya memakan diri sendiri. Orang ramai mula tidak sukakan saya untuk muncul di kaca televisyen (TV) pada ketika itu.

Tawaran semakin berkurang sehingga memaksa saya terima apa sahaja program, asalkan boleh mendatangkan pendapatan.

“Sehinggalah saya diberikan peluang kedua dan rezeki oleh Allah SWT apabila menjadi pengacara program realiti yang baharu diperkenalkan, Akademi Fantasia (AF). Program itulah yang menyelamatkan karier saya,” ujarnya.

Peluang keemasan itu tidak disia-siakan Aznil. Tanpa disangka, AF akhirnya berkembang sehingga menjadi satu jenama besar yang melonjakkan semula namanya dalam dunia pengacaraan.

Alhamdulillah, saya diberi peluang kedua untuk bangkit dan memperbaiki diri untuk memahami apa kehendak penonton ketika itu.

“Saya belajar untuk menjadi lebih matang sebagai pengacara dan juga manusia,” katanya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok