Sufian Suhaimi tak tahu punca Budi digugurkan SFMM38

SEJUJURNYA, saya pun tidak pasti punca utama penarikan lagu Budi dalam SFMM38.”

Demikian kata penyanyi Sufian Suhaimi yang masih tertanya-tanya punca lagu Budi digugurkan daripada menyertai pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) sehari sebelum acara berlangsung. 

Menurut Sufian, 31, dia terkilan apabila tidak dimaklumkan lebih awal mengenai perkara itu bahkan perlu menghubungi penganjur untuk mendapatkan pengesahan.

“Saya pun baru dapat tahu petang semalam. 

Saya memang tidak dipanggil dan tidak dimaklumkan mengenai keputusan perbincangan tersebut. 

“Saya hanya tahu lagu Budi ditarik daripada menyertai pertandingan selepas perbincangan diadakan. Itupun saya yang hubungi mereka untuk mendapatkan kesahihan,” katanya. 

Pelantun lagu Terasa Ada itu berkata, segala persiapan sudah dilakukan untuk beraksi di pentas SFMM38 termasuk pemilihan konsep dan pakaian tetapi segala usahanya itu seakan diabaikan. 

Sudah lama saya tidak beraksi di pentas Muzik-Muzik dan secara peribadi saya merasakan Budi mempunyai potensi yang besar untuk ke AJL38. 

“Persediaan ke SFMM38 pun sudah dilakukan tetapi apabila konsep persembahan dan pakaian dibentangkan tiba-tiba idea itu tidak dipanjangkan.

Daripada insiden itu, saya sudah menduga ada sesuatu yang tidak kena,” ujarnya lagi. 

Terdahulu, beberapa jam sebelum SFMM38 hari ketiga bersiaran, Sufian mengejutkan pengikutny apabila mengumumkan menarik diri daripada menyertai pertandingan tersebut menerusi Instagram. 

Sufian sepatutnya mempersembahkan lagu Budi bersama Luca Sickta dan Kmy Kmo. 

Assalamualaikum. Berat hati saya ingin memaklumkan lagu Budi tidak akan bertanding di Separuh Akhir Muzik-Muzik kali ini. 

“Terima kasih buat semua yang mengundi dan memberikan sokongan buat lagu Budi,” katanya. 

Selain Budi, enam lagu lain yang bertanding pada hari ketiga SFMM38 hari ini terdiri daripada Santai, Berubah, Selagi Ku Ada, Bintang, Darah, Aku, Hati Dan Perasaan, Di Sebalik Rahsia dan Dua Darjat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok