Suami Amyza Aznan sudah sedar, masih di ICU positif Covid-19

SELEPAS dua hari ditidurkan akibat masalah pernafasan, tahap kesihatan suami kepada pelakon Amyza Aznan, Khairil Idzhar Md Nazir semakin stabil apabila sudah sedarkan diri.

Khabar gembira itu dikongsikan pelakon, Didie Alias yang menyantuni suami sahabat baiknya itu di Hospital Ampang Kuala Lumpur, tengah hari semalam.

Didie atau Fadzilah Mohd @ Ali, 51, berkata, buat masa ini keadaan Khairil bertambah baik, namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi tujuan pamantauan selain positif Covid-19.

“Alhamdulillah, syukur dia sudah sedar dan boleh berkomunikasi, cuma tadi kami tak dapat berbual kerana Khairil masih dalam ICU.

“Setakat boleh tunjuk isyarat tangan sebab dia juga positif Covid-19, tetapi tengok keadaannya nampak bertambah okey,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Menurut aktres itu lagi, malam sebelumnya dia datang ke hospital untuk berjumpa Amyza bagi memberikan semangat.

“Saya dan suami ada datang malam tadi (semalam) tetapi ketika itu cuma jumpa Amyza sebab nak kuatkan semangat dia serta anak-anak sebab kita pun faham keadaannya yang keletihan.

“Sebenarnya ketika itu dia pun berat hati nak tinggalkan suaminya untuk ke lokasi penggambaran di Rembau, Negeri Sembilan, namun saya pujuk dan minta dia selesaikan kerja dulu.

“Sebab itu saya singgah lagi dengan suami dan Arash Mohamad. Syukur sangat tengok keadaan Khairil yang dah okey walaupun cuma dapat lambai dari jauh,” katanya lagi.

Menurut Didie, difahamkan masalah kesihatan yang dihadapi Khairil adalah berpunca daripada buah pinggang, bukan jantungnya.

Pada Selasa lalu, Amyza, 47, yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berkongsi keadaan suaminya yang terpaksa ditidurkan bagi menyelamatkan nyawanya.

Khairil, 48, pernah dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan swasta akibat serangan jantung
pada Disember 2017. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok