BARU setahun jagung menceburi industri hiburan tanah air, Amir Ahnaf masih dalam fasa merangkak memahat nama, namun kontroversi dan cerita sensasi sudah menerjah diari seninya.
Sombong, keras kepala, tidak mesra dengan peminat dan pengamal media, itu antara jolokan yang dilemparkan kepada pemilik nama penuh Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin ketika ini.
Tanpa sedar, segala tohmahan tersebut sedikit mencacatkan resumenya sebagai pendatang baharu ketika ini.
Pada awalnya hanya ingin membiarkan sahaja cerita sebegitu berlalu pergi tetapi lama-kelamaan, hatinya tergores apabila terlalu kerap dilabel sebagai pelakon baharu yang angkuh dan berlagak hebat selepas mengecap populariti.
Berpeluang bertemu empat mata dengan jejaka tinggi lampai itu pada majlis tayangan perdana drama Gamers Mangkuk baru-baru ini, dia mengakui terkejut dengan dakwaan itu.
Pelakon berusia 23 tahun itu bertegas, dia tidaklah seteruk yang diperkatakan.
Baginya, dakwaan sombong itu mungkin tercetus ketika dia terburu-buru pulang awal meninggalkan sebuah acara dek keterikatan jadual penggambaran atau kesihatan diri tidak mengizinkan.
“Ya, saya sedar tentang khabar angin yang bertiup kencang mengenai saya ketika ini tetapi hakikatnya, bukan begitu pun.
“Mungkin waktu dikatakan saya sombong itu, saya tidak sihat atau mahu balik awal dari majlis.
“Semua itu ada sebab-sebab dan mungkin juga saya ada kerja keesokan hari, orang lain tidak tahu pun kerjaya saya,” katanya kepada HibGlam.
Ujar anak kelahiran Dungun, Terengganu itu, menjadi diri sendiri adalah prinsip yang diamalkannya sejak dahulu.
Baginya, selebriti juga manusia biasa yang adakalanya mempunyai hari kurang baik untuk ditempuhi.
Saya hanya jadi diri sendiri, saya akan tegur atau bercakap dengan orang lain jika saya mahu.
“Mungkin disebabkan itu, ada orang beranggapan saya keras kepala.
“Saya tidak boleh nak ubah pandangan orang, terpulanglah mereka nak cakap apa pun,” tuturnya.
Bagaimanapun, dia mengakui agak terkejut apabila isu keras kepala itu kerap kali dibahas dan dilemparkan kepada dirinya walhal dia sebenarnya jarang muncul depan khalayak ramai.
“Sejujurnya memang terkejut. Macam mana orang boleh keluarkan pandangan seburuk dan negatif itu sebab kalau boleh saya nak layan semua orang.
Ketika satu sesi ramah mesra di sebuah pusat beli-belah tahun lalu, ada yang marah apabila saya luangkan masa bertegur dan bergambar dengan semua orang tetapi kalau tak lakukan, isu lain pula timbul.
“Saya sebenarnya seorang yang sangat mudah bergaul dan layan sahaja kalau nak bersembang topik apa pun.
“Saya akan tegur semua orang kecuali kurang sihat atau perlu pulang awal sebab ‘call time’ awal pagi untuk penggambaran,” katanya lagi.
Tidak mahu dirinya terus dilabel sebagai artis bermasalah, bekas finalis Hero Remaja 2021/2022 itu menghulurkan permohonan maaf, sekiranya pernah membuatkan pihak lain berkecil hati.
“Saya minta maaf, saya hanya manusia biasa dan ada khilaf sendiri,” katanya.