Siti Nurhaliza tak melatah nama jadi sasaran

MESKI nama kerap dikaitkan dengan berita sensasi sehingga mencetus reaksi ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak cepat melatah.

Pelantun lagu Magis itu mengakui lebih selesa tidak ambil pusing sebaliknya cuba menghadapi sebarang spekulasi mahupun kontroversi dengan tenang.

“Saya memang tak sangka nama saya sering diperkatakan walaupun bukan cerita mengenai diri mahupun kerjaya, tetapi tetap juga dikaitkan.

Jadi, saya selalu ingatkan pada diri sendiri, apa pun yang dilakukan nawaitu kena betul. Orang nak bercakap atau kaitkan jangan melatah dan respons secara positif.

“Itulah realiti. Mungkin orang bertanya kerana mahukan pendapat dan berikan respons dengan cara saya,” katanya ketika ditemui pada majlis The Knights Award di Hotel W, Kuala Lumpur, semalam.

Siti meluahkan rasa syukur apabila meraih anugerah The Golden Voice Of The East selain trofi The Trending Livestyle Cosmetic Brand Of The Year bagi syarikatnya SimplySiti.

“Alhamdulillah, rasa gembira dan bersyukur sebab menerima dua anugerah yang satunya untuk syarikat dan satu lagi buat diri sendiri.

Penutup 2023 yang sangat indah. Anugerah buat syarikat ada makna mendalam iaitu lebih bersemangat menghasilkan produk lebih baik dan berkualiti.

“Kalau anugerah peribadi, ini sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong sehingga saya bertahan dalam industri selama 28 tahun,” ujarnya kepada HibGlam.

Atas kejayaan tersebut, dia berjanji akan memberi semula kepada masyarakat atau peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya.

Insya-Allah, apa yang saya fikir sekarang adalah menyumbangkan sesuatu semula kepada masyarakat, itu lebih penting.

“Mungkin bukan macam dulu kejar populariti atau sesuatu buat bahan cerita tetapi sekarang memang lebih kepada masyarakat kerana mereka banyak berkorban untuk saya,” jelasnya.

Selain Siti, artis Malaysia lain yang berjaya diiktiraf The Knights Award ialah Harith Iskander (The Most Celebrated Comedian Of All Time) dan Datuk Arumugam (The Most Iconic Band Group Of All Time). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok