PEMPENGARUH Siti Jamumall mendedahkan dia dibiarkan terbaring selama dua jam di atas jalan raya selepas mengalami kemalangan motosikal pada Ahad lalu.
Menurut Siti Jamumall atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin, 24, dia dibiarkan terbaring dalam tempoh yang agak lama berikutan keengganan sebuah pusat perubatan swasta menerima kesnya.
Begitupun kata ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu, akhirnya kakitangan perubatan yang menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantarkan bantuan.
Allah masih sayangkan saya. Sejujurnya, saya kesal apa yang berlaku. Tidak sepatutnya pihak berkenaan membiarkan sahaja pesakit yang berada dalam keadaan kecemasan. Saya pun tidak tahu kategori sakit macam mana yang mereka boleh terima.
“Apa pun, terima kasih kepada ambulans KKM yang sudi membantu dan bawa saya ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya.
Siti Jamumall kemudian dipindahkan ke sebuah pusat perubatan lain bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas menghadapi pelbagai kecederaan.
“Syukur perkhidmatan di sini sangat laju. Selepas jumpa doktor dan buat ujian imbasan X-Ray, saya dimaklumkan patah jari dan luka-luka biasa.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan, menghantar mesej dan datang melawat,” ujar usahawan itu lagi.
Dalam pada itu Siti Jamumall memberitahu, ibunya juga hampir pengsan gara-gara terkejut dengan berita kemalangannya.
Ibu mana yang tidak terkejut dan sedih melihat anaknya terbaring atas jalan raya apatah lagi kemalangan itu hampir meragut nyawa anaknya,” katanya.
Terdahulu, Siti Jamumall dilaporkan mengalami kemalangan jalan raya selepas motosikal dinaiki hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Setia Alam, Selangor, hujung minggu lalu. – HIBGLAM