Kami hiburkan orang dengan nyanyian – Sharif, Syaiful

SELEPAS dijulang sebagai juara Famili Duo musim ketiga (FD3), pasangan adik-beradik Sharif dan Syaiful mengakui nekad meneruskan karier dalam bidang nyanyian demi menghiburkan peminat.

Malah jelas pemilik nama penuh Sharif Kadir Doli Sharif itu, ramai peminat yang meminati mereka tampil sebagai penyanyi selain kerjaya hakiki sebagai pelawak.

“Apa yang kami lihat beberapa minggu lepas (semasa FD3), saya nampak kami berdua boleh menghiburkan orang menerusi nyanyian.

“Jadi, mengapa tidak kalau kami ambil benda ini (nyanyian) secara serius dan benar-benar fokus. Mungkin selepas ini kami akan keluar dengan sebuah kumpulan, siapa tahu?

“Kalau mahu cerita bab perancangan, saya fikir selepas ini memang kena lebih serius menyanyi sebab peminat bagi galakkan kami menyanyi selain melawak, mungkin dengan cara itu kami dapat menghiburkan mereka dari segenap segi,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya perasaan apabila berjaya menundukkan peserta lain yang antaranya pernah menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL), penghibur berusia 33 tahun itu percaya mereka mempunyai kekuatan tersendiri.

“Bagi saya tiada istilah mengalahkan peserta yang sememangnya penyanyi profesional, kita tahu mereka penyanyi hebat tapi mungkin kelebihan kami lebih kepada menambat hati penonton.

“Terlalu jauh taraf nyanyian kami dengan mereka (penyanyi), seperti juri kata kekuatan kami lebih kepada persembahan, jadi kami bersyukur usaha keras dalam membuat persembahan terbaik malam ini (kelmarin) diterima.

“Niat masuk Famili Duo bukan untuk bertanding tetapi menghiburkan orang ramai, tidak sangka pula kami menang tiga kali juara mingguan, kami sahut cabaran setiap minggu dan Alhamdulillah semuanya terbalas malam ini (kelmarin),” katanya pada sidang media konsert akhir FD3, baru-baru ini.

Pasangan duo terbabit menduduki tempat pertama dengan markah keseluruhan 81 peratus sekali gus muncul sebagai juara FD3 dan membawa pulang ganjaran lumayan berupa wang tunai berjumlah RM100,000.

Prestasi adik-beradik asal Sabah itu terserlah sejak awal pertandingan realiti terbabit dimulakan apabila tiga kali bergelar juara mingguan iaitu konsert pertama, kelima dan keenam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok