Semuanya baik! GV10 ‘angkut’ semua 8 peserta ke final!

PROGRAM All Stars Gegar Vaganza (GV10) membuat kejutan apabila ‘mengangkut’ kesemua lapan peserta ke pentas akhir yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Disember depan.

Pengumuman tiada penyingkiran sekali gus melayakkan lapan penyanyi, Tomok, Nikki Palikat, Naqiu, Hady Mirza, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Azharina peringkat final.

Pada konsert separuh akhir, kedudukan teratas menjadi milik Tomok yang juga pemenang tempat keempat GV musim kesembilan selepas meraih markah tertinggi iaitu 80 peratus daripada tiga juri tetap.

Tempat kedua konsert minggu pula menjadi milik penyanyi yang juga naib juara GV8, Nikki Palikat dengan kutipan markah 79.50 peratus, manakala juara musim keenam, Naqiu pula berada di kedudukan ketiga meraih 72.50 peratus.

Sebelum ini, Suki Low, Cliff Umar, Datuk Aishah, Ayai Illusi, Zamani, Ezad Lazim, Noryn Aziz dan Aliff Aziz merupakan peserta yang sudah meninggalkan GV10.

Rancangan popular tersebut menyaksikan kesemua bintang diadili juri profesional terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.

Konsert GV10 diacarakan pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok