Selar Israel, Kaka Azraff artis Malaysia pertama ditamatkan kontrak

LANTANG bersuara mengenai kekejaman Zionis di Palestin, penyanyi Kaka Azraff dikatakan artis Malaysia pertama ditamatkan kontrak nyanyian dengan syarikat rakaman, Warner Music.

Perkara tersebut terbukti apabila muncul salinan surat tular yang memaklumkan Warner Music Malaysia telah menamatkan kontrak Kaka, 34, yang berkuatkuasa 31 Disember lalu.

Biarpun telah tamat kontrak, Kaka atau nama penuhnya Nor Atiqa Noor Azraff bagaimanapun tetap perlu memenuhi setiap aktiviti seni yang sudah diatur Warner.

Pelantun lagu Gila itu juga turut diberi amaran supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen yang boleh mencalarkan imej Warner Music Malaysia serta pihak berkaitan.

Kaka bagaimanapun sehingga hari ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mempertahankan dirinya berhubung isu tersebut.

Sementara itu, hasil tinjauan HibGlam, nama Kaka juga sudah ‘ghaib’ daripada senarai artis yang bernauh dibawah label Warner Music Malaysia.

Antara selebriti yang masih bernauh di bawah Warner Music Malaysia ialah Bunga Isme, Alif Satar & The Locos, Zynakal dan Janna Nick.

Sejak semalam, nama Kaka menjadi topik bualan hangat apabila butiran dirinya didedahkan oleh akaun Instagram yang merupakan pro-Israel selepas lantang bersuara mengenai tindakan kejam Zionis terhadap Palestin.

Difahamkan, perkara itu tercetus susulan tindakan penyanyi tersebut meninggalkan komen dengan mengecam pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic, beberapa minggu lalu.

“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?

“Orang sakit. Hitler sepatutnya membunuh semua Israel!” tulis Kaka.

Pihak berkenaan turut melakukan penyelidikan mengenai latar belakang Kaka sekali gus mendedahkan gambar, butiran peribadi, syarikat dinaunginya iaitu Warner Music Malaysia serta melabel penyanyi tersebut sebagai anti-Yahudi.

Rentetan daripada pendedahan tersebut, penyokong tegar Israel mula menyerang akaun Instagram penyanyi terbabit dalam ruangan komen.

Terdahulu, pada 13 Oktober lalu, syarikat induk, Warner Music Group memuat naik sebuah hantaran Instagram yang menyatakan sokongan mereka terhadap Israel selain menyifatkan Hamas sebagai pengganas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok