‘Saya masih di sini, seni belum terkubur’

MESKI jarang dilihat menghiasi skrin televisyen sebagai pelakon, Amyra Rosli aktif membenihkan aura seninya sebagai hos rancangan Nona setiap hujung minggu tepat pukul 2 petang.

Tidak lokek senyuman dengan perwatakan lemah lembut, Amyra Rosli mempunyai aura tersendiri sepanjang mengemudikan program yang mengangkat isu wanita dan masyarakat tersebut.

Dua tahun bersama keluarga Nona, pemilik nama lengkap Nur Amira Izzati Rosli itu menyifatkan peluang mengendalikan program tersebut sebagai rezeki bermakna buat dirinya.

Amyra yang sebelum ini hanya memberikan fokus kepada lakonan berjaya membuktikan dunia pengacaraan juga sesuai buat dirinya. Itu langkah yang diambilnya demi mencari keseimbangan antara keluarga dan kerjaya.

Dua tahun lebih saya bersama Nona. Banyak yang saya belajar daripada program ini dan boleh diumpamakan sebagai sekolah buat saya dalam dunia ‘hosting’

“Sambil bekerja saya dapat mengutip banyak ilmu sepanjang perjalanan. Rugi kalau saya lepaskan peluang.

Mula-mula saya takut nak buat program besar tetapi saya terima. Jika tidak, saya tidak tahu bila boleh keluar dari zon selesa saya,” katanya membuka bicara.

ISTERI kepada Amar Baharin itu bersyukur tawaran sebagai hos Nona yang mampu membawanya keluar daripada zon selesa.

Dunia pengacaraan sememangnya perkara baharu dalam hidup isteri kepada aktor Amar Baharin itu. Dia bermula daripada bawah sebagai hos dan itu pengalaman sangat mematangkan buat dirinya.

Namun, semangatnya yang tidak kenal erti berputus asa membawa tuah apabila berjaya meraih trofi Hos TV

Penyampai Berita dan Hal Ehwal Semasa Paling Dipercayai pada Anugerah Malaysia Reader’s Digest dua tahun berturut-turut.

“Dari segi kamera saya tiada masalah sebab sudah mula dengan lakonan, cuma saya ambil masa dalam enam bulan ke satu tahun untuk yakinkan diri menyampaikan fakta.

Saya ini pula jenis senang rasa rendah diri dan ‘insecure’. Apabila berada dalam Nona saya bekerja sambil berlatih untuk biasakan diri.

“Alhamdulillah, penat lelah saya dibayar dengan memenangi anugerah Pengacara Paling Dipercayai dua tahun berturut-turut,” ujar Amyra teruja.

Begitupun, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui program Nona mengajar banyak perkara dalam kehidupan.

“Sejak menyertai Nona, keyakinan diri saya meningkat. Saya seronok dapat bercampur dengan ramai orang.

Beruntungnya lagi, saya dapat pergi merata tempat dan mengenali banyak benda.

“Dalam masa sama, saya kena kuatkan diri untuk menghafal setiap skrip bagi segmen. Jadi, Nona mengajar saya menjadi lebih berdisiplin,” tutur selebriti berusia 32 tahun itu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok