Satu kesilapan, semua kebaikan tak nampak – Hafidz Roshdi

SETIAP manusia buat kesilapan, jangan kita hukum orang itu dengan kesilapan dia.”

Demikian peringatan yang dititipkan pelakon Hafidz Roshdi buat orang ramai agar tidak terus menghakimi kesilapan orang lain.

Menurut Hafidz yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Athira Yuhada selepas enam bulan menduda, sikap sedemikian akan menyebabkan segala kebaikan yang pernah dibuat individu terbabit seakan-akan ditutup dan dilupakan.

Jangan kerana satu kesilapan dia buat, semua kebaikan dia kita tak nampak,” katanya ketika ditemu bual dalam sebuah program hiburan, semalam.

Pemilik nama sebenar Muhammad Hafidz Roshdi, 29, itu turut menzahiran rasa syukur apabila ramai mendoakan kesejahteraan perkahwinannya yang berlangsung kelmarin.

Akuinya, masih ramai insan berada di belakangnya menyuntik kata-kata semangat tidak kira dalam apa jua situasi.

Terima kasih kepada mereka yang menyokong saya daripada dulu sampai sekarang, doakan yang baik-baik untuk saya.

“Semoga yang baik-baik untuk saya dan juga isteri saya serta yang mendoakan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Athira pula lega majlis pernikahan dan resepsi mereka berjalan lancar selain menyatakan sudah bersedia mendepani cabaran sebagai isteri.

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Saya dan Hafidz sangat gembira.

“Sekarang saya sudah sah bergelar isteri kepada Hafidz. Semuanya dipermudahkan,” katanya.

Berita pernikahan dengan wanita yang sebelum ini didakwa bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri sebagai pengganggu rumah tangga mereka dikongsikan sendiri aktor tersebut dalam Instagramnya.

Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada, 29, pada 30 April 2016 namun bercerai talak satu pada 27 Julai lalu selepas tujuh tahun hidup bersama.

Proses perceraian mereka mendapat liputan meluas media berikutan tercetusnya beberapa isu lain terutama membabitkan kehadiran orang ketiga serta kes kekasaran terhadap Nurul Shuhada.

Hasil perkongsian hidup, pasangan terbabit dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3.

Perkahwinan dengan Athira yang juga cinta pertama Hafidz bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati segelintir netizen berikutan sebelum ini pasangan itu menafikan menjalin hubungan ketika Hafidz masih bergelar suami orang.

Malah ada juga menyindir bintang drama Melastik Ke Hatimu 2 itu mampu berkahwin semula biarpun mengakui pernah mendapatkan rawatan berkaitan masalah mental. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok