Sakit tulang belakang, Zamani risau dibedah lagi

Rasa seperti ketat dan ada benda terkeluar di tulang belakang.”

Itu perkongsian penyanyi Zamani yang mula berasa sakit dan tidak selesa pada bahagian tulang belakang selepas setahun menjalani pembedahan penyakit skoliosis.

Menurut Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 52, rasa tidak selesa itu mula timbul apabila dia terlalu sibuk bekerja dan tidak menjalani rawatan fisioterapi seperti yang disarankan oleh doktor.

“Saya nampak okey, tetapi sebenarnya saya mula rasa sakit-sakit jika terlebih bekerja.

“Sejujurnya saya tidak tahu rasa sakit ini masalah besar atau kecil. Memang saya akan akan berjumpa dengan doktor pada 21 Disember ini untuk lihat sama ada masalah berpunca daripada tempat ikat benang atau benda lain,” ujar Zamani.

Gara-gara rasa sakit, vokalis kumpulan Slam itu menyesal tidak melakukan rawatan fisioterapi seperti yang disarankan  doktor kerana terlalu sibuk dengan karier seni.

Malah, penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu juga diselubungi perasaan takut andai dia terpaksa menjalani pembedahan semula.

“Menyesal juga tidak buat fisioterapi di hospital sebaliknya saya hanya beli basikal dan beberapa peralatan lain untuk bersenam di rumah.

Salah seorang peminat saya juga ada penyakit yang sama dan telah menjalani pembedahan tetapi terpaksa melakukan pembedahan sekali lagi selepas beberapa tahun. Maknanya sekali bedah bukan jaminan untuk terus sihat.

“Jadi, saya terus rasa takut dan menyesal tidak menjaga kesihatan betul-betul. Takut sebab saya tidak mahu buat pembedahan sekali lagi,” kata Zamani yang ditemui pada sidang media Concert UK’Slam Musical baru-baru ini.

Terdahulu, Zamani menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras, Kuala Lumpur pada 7 November tahun lalu.

ZAMANI kini mempersiapkan diri untuk menjayakan Concert UK’Slam Musical yang akan berlangsung pada 3 Februari 2024 di Stadium Melawati, Shah Alam.

Justeru itu, Zamani mula memperlahankan kerjaya seni demi memberi tumpuan kepada kesihatannya dan juga Concert UK’Slam Musical yang akan berlangsung pada 3 Februari depan di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

“Buat masa ini memang banyak tawaran datang tetapi saya tidak ambil semua. Satu sebab masalah kesihatan dan kedua kumpulan Slam sudah aktif semula, jadi atas rasa tanggungjawab saya perlu kurangkan persembahan solo.

“Bimbang nanti waktu konsert orang tidak datang sebab sudah terlalu banyak tonton persembahan percuma. Itu hakikat yang memang perlu kita telan,” ujar Zamani.

Dalam pada itu, Zamani berjanji untuk menjaga tahap kesihatan dan kualiti vokalnya agar penonton yang datang pada konsert tersebut berpuas hati dengan persembahannya.

“Orang datang konsert berbayar, jadi saya harus memberi persembahan terbaik. Diakui faktor kesihatan kadang-kala mengganggu kualiti vokal saya.

“Jadi, selain kurangkan persembahan pentas, saya mula menjalani latihan untuk konsert lebih awal. Saya juga mula berjumpa doktor dan menjaga stamina. Apa yang boleh dilakukan demi sebuah persembahan terbaik, saya usahakan kerana tidak mahu menghampakan peminat,” kata Zamani.

Buat julung kalinya, kumpulan Slam akan bergabung dengan kumpulan UK’s dalam Concert UK’Slam Musical anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama AmirUKs Entertainment. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok