Rujuk sudah, daftar di mahkamah belum – Diana Danielle

So what’s the point (Apa keperluannya)? Perkara itu tidak penting sebab kami sudah secara rasmi rujuk.”

Itu respons pelakon Diana Danielle yang mengakui masih belum mendaftarkan pengesahan rujuk dengan suaminya yang juga aktor, Farid Kamil di mahkamah sejak 31 Ogos lalu.

Menurut Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, perkara itu tidak akan mengubah apa-apa tentang hubungannya dengan suami yang sudah kembali berbaik.

“Kami sudah rujuk secara rasmi dan tukar di atas kertas pun tidak mengubah apa-apa pun.

“Bukannya kami tak mahu failkan di mahkamah tetapi itu semuanya untuk secara rasmi sahaja,” katanya kepada HibGlam selepas pelancaran butik MimpiKita di sini hari ini.

Pelakon filem Imaginur itu juga menganggap pengesahan rujuk sebagai tidak penting dan belum bersedia untuk hadir ke mahkamah dalam tempoh terdekat

“Nanti kalau sudah bersedia, kami akan lakukan. Lainlah kalau sebelum ini saya cakap tak pernah jadi (rujuk), maka akan berlaku konflik di situ.

“Semua orang pun sudah tahu kami telah rujuk malah secara hukum Islam, kami tak melanggar apa-apa. Cuma secara undang-undang sahaja belum.

“Cuma sekarang ini, mahkamah lagi ke, sekejap ya,” katanya lagi.

Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Diana untuk kes perceraian sebelum ini, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu Farid dan Diana tetap perlu ke Mahkamah Syariah untuk mengesahkan proses rujuk semula itu.

“Kalau sudah rujuk, mereka tetap perlu ke mahkamah syariah untuk disahkan dan barulah sijil rujuk akan dikeluarkan.

“Jika tidak ke Mahkamah Syariah, pihak berkuasa tidak iktiraf rujuk pasangan itu,” jelasnya.

Sebelum ini, pasangan itu mengejutkan ramai pihak apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, pasangan tersebut mengumumkan rujuk semula pada 31 Ogos lalu.

Hasil perkahwinan, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok