PELAKON Azira Shafinaz menegaskan pengiktiraan yang diterimanya di Asian Academy Creative Awards (AACA) pada 7 Disember lalu pada 7 Disember lalu bukan mengangkatnya sebagai bintang komedi sebaliknya Pelakon Wanita Terbaik untuk drama komedi.
Menurut penyanyi kumpulan De Fam itu, perkara berkenaan perlu dijelaskan kerana ramai keliru dengan menyangka trofi itu adalah untuk pelakon komedi.
Saya bukan pelakon komedi dan kena jelaskan supaya tiada sesiapa salah faham namun pada masa sama bersyukur apabila ada pihak melihat kemampuan saya dalam genre itu.
“Saya menang trofi Pelakon Wanita Terbaik untuk watak komedi bagi drama Ijab Kabut yang bergenre komedi romantik. Watak yang saya bawa iatu Deanna juga memang kelakar.
Penjelasan ini dibuat kerana saya tak mahu ada yang mempertikaikan kenapa saya menang trofi tersebut, sedangkan saya bukan pelawak,” katanya selepas pengumuman Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38), baru-baru ini.
Pemilik nama penuh Azira Shafinaz Ramlan, 32, itu turut menzahirkan perasaan gembira meraih pengiktirafan di peringkat Asia selepas sedekad menceburi dunia seni.
Biarpun enggan dikenali sebagai aktres komedi, Azira terbuka untuk menjayakan naskhah genre itu bagi mempelbagaikan karakter.
“Alhamdulillah tak sangka rezeki saya rupanya di luar negara. Sepanjang 10 tahun berlakon, saya tidak pernah dapat peluang bawa pulang trofi.
Tidur pun saya peluk trofi kerana apabila bangun keesokan harinya saya baru dapat rasa semua ini bukan satu mimpi.
“Insya-Allah selepas ini saya lebih bersedia berlakon dalam drama komedi sebab sebelum ini pun saya pernah terlibat dalam program Sepahtu Reunion,” ulasnya.
Menerusi kemenangan itu, Azira berjaya menundukkan tiga lagi calon iaitu Jeanie Ng Ka Yan dari Hong Kong, Ratna Pathak Shah (India) dan Isabelle Daza (Filipina).
Azira berkata, ketika namanya diumumkan sebagai pemenang air matanya menitis laju sehingga terpaksa ditenangkan artis senior, Susan Lankester.
Sejujurnya saya pun tak sangka diiktiraf di peringkat Asia. Susan tenangkan saya, memang sebak kerana sepanjang 10 tahun, inilah trofi pertama saya terima serta bangga menjadi wakil tunggal Malaysia yang menang,” katanya.
Mengenai penyertaan De Fam dalam SFMM38, Azira berkata mereka mempertaruhkan lagu Berubah yang bakal berentap dengan 29 lagu lagi untuk ke malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 38 (AJL 38) pada 3 Mac tahun depan.
Lagu ciptaan serta lirik oleh Mage, Faizal Tahir dan Sophia Liana itu dicipta untuk membolehkan mereka menyertai AJL yang menjadi dambaan ramai komposer dan penyanyi. – HIBGLAM