‘Ramai keluarga saya kakitangan kerajaan, saya yang poyo’

PENYANYI dan aktivis kemanusiaan, Caprice, 35, atau nama sebenarnya Ariz Ramli mengakui kadang-kadang terlalu asyik lantang bersuara sehingga terlupa bahawa kalangan keluarganya juga ada yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

Tindakannya mengkritik seorang individu yang bekerja sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam insiden pelajar maut dilanggar pada 15 Disember lalu akhirnya memakan diri. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Caprice berkata, dia tidak berniat untuk menghentam keseluruhan pasukan PDRM sebaliknya hanya tertumpu kepada individu terbabit sahaja.

Tiada kaitan dengan pasukan biru lain, kritikan hanya pada individu terbabit saja. Bagi mereka yang mungkin tak tahu, keluarga saya pun ramai yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

“Bapa saudara saya juga pernah galas jawatan sebagai bekas Ketua Polis Kelantan sekitar 2003.

“Saudara mara saya pun ada yang merupakan askar, tentera laut, jadi akar umbi saya memang ramai yang kakitangan kerajaan. Mungkin saya saja yang terlebih poyo.

Namun saya faham selepas ini kena kurangkan melaga-lagakan isu tersebut sebab  boleh mencemarkan imej PDRM,”katanya.

Selain itu, jelas Caprice, dia juga faham bahawa PDRM adalah sebuah entiti kerajaan yang murni dengan nama baiknya harus dijaga oleh bukan sahaja anggota, tetapi juga orang awam.

Dalam pada itu, ditanya sama ada insiden yang berlaku menyebabkan dirinya berasa tersekat untuk mengamalkan hak kebebasan bersuara, kata Caprice, semua pihak harus mengikut undang-undang.

“Saya tak fikir ini sebagai satu ugutan atau penghalang kebebasan bersuara. Semua ini undang-undang. Kita ada undang-undang untuk dijaga dan diikuti.

Kalau abaikan atau langgar, undang-undang akan cari kita itu saja,” katanya.

Terdahulu, Caprice tiba di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 12.30 tengah hari bagi membantu memberi keterangan.

Baru-baru ini, dia telah memuat naik sebuah video tentang insiden tersebut dan menggelar anggota polis berkenaan menggunakan kata-kata kesat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok