Positif Covid-19, Che Ta tangguh majlis ulang tahun perkahwinan

HASRAT aktres Rozita Che Wan atau Che Ta untuk meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan ke-10 terbantut selepas disahkan positif Covid-19.

Katanya, dia reda menangguhkan majlis yang sepatutnya berlangsung esok biarpun persiapan sudah disempurnakan sejak beberapa minggu lalu.

Semua persediaan untuk meraikan ulang tahun perkahwinan kami sudah siap termasuk tempahan lokasi majlis, solekan serta busana.

“Tapi malangnya, kelmarin ketika melakukan ujian kendiri Covid-19, keputusannya positif, nampaknya gelombang baharu virus ini datang kembali,” katanya.

Pada masa sama, isteri kepada aktor Zain Saidin itu menjelaskan hanya menangguhkan majlis tersebut ke satu tarikh lain, bukan membatalkannya.

Che Ta menegaskan, kesejahteraan insan terdekat dengannya lebih utama memandangkan kes jangkitan Covid-19 juga kini meningkat.

“Saya pun merisikokan diri, keluarga serta tetamu yang diundang memeriahkan majlis sambutan ulang tahun perkahwinan ini.

“Jadi buat sementara waktu, biarlah kami tundakan dulu majlis berkenaan, tunggu situasi semasa baik-baik dulu,” ujarnya.

Mengenai tahap kesihatannya, aktres berusia 50 tahun itu berkata, keadaannya sedikit lemah sekali gus memerlukannya banyak berehat.

Nak tidur pun susah. Sakit kepala rasa macam nak pecah ditambah dengan batuk yang agak teruk.

“Saya harap semuanya akan baik-baik sahaja selepas ini dan jangan ambil mudah fasal Covid-19 ini,” ujarnya.

Sementara itu, Che Ta yang juga penerima Bumiputera Business Excellence 2023 sudah menyempurnakan penggambaran program masakan Cuit Cuit CheTa musim ketiga yang akan disiarkan di TV Okey tahun depan.

“Kali ini, saya mengendalikan program 30 episod bersama suami dengan kehadiran tetamu dalam kalangan artis yang juga cef masakan.

Selain itu, saya dipilih sebagai juri program The Mask Singer musim keempat. Alhamdulillah, dari segi kerjaya memang lancar.

“Dalam perniagaan pula saya bakal melancarkan produk terbaharu ByRCW pada suku pertama 2024,” katanya.

Che Ta bersama dua anak lelakinya Ammar Effendy, 26, dan Aniq Ezzra, 24, pernah dijangkiti Covid-19 sebulan sebelum sambutan hari jadinya tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok