PENGHIBUR kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berharap mana-mana pihak berhenti membuat perbandingan antara konsertnya dengan acara lain yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Kata Siti, 44, dia enggan terkait perkara yang berpotensi mengundang reaksi kurang senang netizen sehingga perlu memberi penjelasan setiap kali hal sama dibangkitkan.
Korang (kamu) semua ni kan suka tau buat ‘posting’ macam ini. Nanti kalau ada komen-komen saya juga yang kena.
“Janganlah ya, saya tidak pernah risau apa-apa pun,” katanya pada perkongsian dalam Instagram Story.
Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin memuat naik hantaran itu sebagai respons terhadap artikel bertajuk ‘Siti Nurhaliza tak perlu risau, final Piala Malaysia sudah atasi Coldplay’ yang dimuat naik di akaun media sosial milik satu saluran sukan tempatan.
Menurut artikel berkenaan, perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di SNBJ, pada Jumaat lalu berjaya menghimpunkan 85,550 penonton.
Secara tidak langsung, pihak terbabit mendakwa perlawanan bola sepak itu berjaya memintas rekod konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour pada 2004 serta Music Of The Spheres World Tour membabitkan kumpulan Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu di lokasi sama.
Bagaimanapun, rata-rata peminat menyelar perbandingan yang disifatkan tidak adil memandangkan konsert serta perlawanan bola sepak adalah dua perkara berbeza.
Malah, ada yang bertindak mengecam saluran sukan popular itu kurang cerdik apabila tidak mengambil kira jurang perbezaan ketara harga tiket antara kedua-dua acara. – HIBGLAM