SATU Malaysia ‘bersolidariti’ di belakang pemilik nama lengkap Nor Atiqa Noor Azraff itu yang sanggup merisikokan kerjaya seni demi memperjuangkan hak kemanusiaan saudara seagama di Gaza, Palestin.
Biarpun lidahnya tajam menikam emosi pihak yang berkenaan, terutama pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic lantas ‘mengheret’ kariernya ke lembah risiko, Kaka Azraff, 34, tiada gentar bergerak ke hadapan.
Baginya, apa yang dilakukan adalah tanggungjawab sesama manusia bukan hanya bersifat keagamaan atau perkauman.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa Israel merobek-robek undang-udang antarabangsa dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan di Palestin.
Umum mengetahui, disebabkan kelantangan suara mempertahankan bumi Palestin, kontrak pelantun lagu Bukan Hal Aku itu dengan syarikat rakaman, Warner Music Malaysia ditamatkan berkuat kuasa 31 Disember ini.
Tenang berdepan situasi yang sedikit sebanyak mengganggu periuk nasinya sebagai pelaku seni, Kaka tidak melatah mengayuh langkah yang disifatkan sebagai jihad kecil buat agama.
Saya tak terkilan pun kontrak ini ditamatkan. Cuma saya terkilan dengan pendekatan secara tiba-tiba dan tidak memberi saya ruang berbincang dengan lebih jelas, walaupun tempoh diberikan dalam masa 30 hari (penamatan kontrak),” jelasnya kepada media dalam satu sidang media tergempar di ibu negara beberapa hari lalu.
Mengakui khilaf sendiri terbawa-bawa emosi ketika melayangkan direct message (DM) kepada Nathaniel Buzolic sehingga menjadi asbab tercetusnya segala konflik, isteri kepada Adam Azriff itu tunduk akur salah percaturannya.
Bagaimanapun, dia menjustifikasikan bahawa dengan keadaan semasa ribuan orang Palestin dibunuh tanpa rasa perikemanusiaan, ada sebab mengapa dia bertindak sedemikian.
“Saya bukan antisemitik dan tidak bersifat perkauman seperti yang diuar-uarkan pihak tersebut. Saya hanya meluahkan pendapat peribadi terus kepada individu itu, bukan memberikan komen secara terbuka.
Saya akui, mungkin pilihan kata-kata saya agak keras, tetapi itu menggambarkan kemarahan saya pada waktu itu (bahkan sehingga kini pun), menyaksikan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku di hadapan mata seisi dunia pada waktu ini.
“Mungkin, saya seharusnya memilih kata-kata yang lebih sopan, saya tidak nafikan hal itu.
“Tapi saya sudah katakan dan saya tidak ingin memandang ke belakang,” ujarnya panjang lebar.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.