PENYANYI Datuk Aishah Ariffin mengakui enggan lagi menyertai pertandingan nyanyian selepas penat berdepan lingkungan anasir toksik yang suka melempar kecaman.
Pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu berkata, keputusan tersebut diambil disebabkan dirinya kini lebih mementingkan ketenangan serta mahu kekal positif.
“Bagi saya selepas ini tak mahu masuk (pertandingan) dah kerana menerusi kecaman yang dilemparkan, individu terbabit menganggap usia tua adalah suatu dosa.
“Itu menunjukkan kita sudah tiada ada hormat lagi kepada golongan berusia. Kau dah tua, dah kedut dan bermacam-macam lagi. Kalau saya nak lawan satu-satu, akan menambahkan lagi stres pada diri.
“Apa yang boleh saya lakukan adalah apabila duduk di dalam suasana sarat toksik, saya akan buang segala toksik itu setakat saya boleh dan duduk senyap sahaja
“Jadi lebih baik jangan masuk pertandingan lagi, saya tumpukan saja kepada undangan persembahan selain dapat lebih tumpukan perhatian kepada ibadah ,” katanya kepada Hib Glam.
Penyanyi yang terbabit dalam Kempen Lose to Win anjuran Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur itu juga mengakui masanya kini terisi dengan aktiviti dikelolakan pertubuhan disertai.
Malah kesibukan memenuhi undangan pentas juga membuatkannya lebih tenang, sekaligus tidak menjejaskan emosi berhadapan kecaman dalam media sosial.
Begitupun, dia berharap mana-mana individu tidak berterusan menyalahguna platform interaksi tersebut dengan perkara buruk termasuk melempar fitnah atau hinaan.
“Memang ada kebaikan dan keburukan media sosial ini, bergantung kepada kita sendiri kerana hakikatnya inilah medium mendekatkan peminat dengan artis serta masyarakat.
“Tetapi janganlah gunakan untuk perkara yang tidak betul seperti .
sampai hilang adab macam mereka tak fikir ini, kita ini mak orang, tok orang atau apa.
“Malah adakalanya tak tahu pun hujung pangkal cerita, terus kecam. ikut hukum agama pun, kita tak boleh herdik atau maki orang sesuka hati,” ujarnya.
Sebelum ini penyanyi Janji Manismu itu pernah meluahkan perasan geram dengan sikap segelintir netizen yang suka mencari kesalahan barisan peserta program All Stars Gegar Vaganza (GV10). – HIBGLAM