Peminat restu Syafiq Farhain jadi vokalis Iklim

TIADA angin, tiba-tiba bertebaran khabar mendakwa penyanyi Syafiq Farhain menyertai kumpulan Iklim selepas lima tahun pemergian bapanya, Allahyarham Saleem.

Perkara itu dikongsikan sebuah akaun TikTok yang memuatnaik konten mengenai band tempatan dan antarabangsa sekali gus mengundang pertanyaan berikutan band tersebut sudah mempunyai vokalis, Azmani atau Mohd. Azmani Mohd. Isa.

“Iklim 2023… Umarul (gitar), Huzali (keyboard), Mohalim (ketua/bass), Kama (dram) dan Syafiq (vokalis),” tulisnya pemilik akaun TikTok itu ringkas.

Malah kelibat Azmani yang bersama mereka sejak tahun 2020 juga tiada di dalam hantaran gambar yang berlatar belakangkan lagu Iklim, Firasat Kasihku.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen meninggalkan komen positif apabila menyokong kemasukan ahli bomba terbabit dalam kumpulan rock legenda era 1990-an itu.

“Akhirnya anak arwah, Syafiq Farhain bersama Iklim. Tahniah,” komen netizen.

“Ambil sajalah anak arwah, Syafiq sebagai vokalis sebab suara dia pun hampir sama dengan bapanya. Al-Fatihah buat arwah Saleem,” kata seorang peminat lain

Begitupun, Syafiq yang pernah pernah popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku selain meraih gelaran naib juara program Big Stage musim pertama pada 2018 tidak dapat dihubungi untuk pengesahan lanjut.

Terdahulu, Saleem atau nama sebenarnya, AM Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir pada 14 Oktober 2018 pada usia 57 tahun selepas terbabit dalam kemalangan motosikal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok