Paru-paru dijangkiti kuman, jantung bengkak, Isma Aliff masih ditidurkan

DIKESAN mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan jantung bengkak, artis senior serba boleh era 1980-an, Isma Aliff, 59, kini sedang kritikal dan ditidurkan di Hospital Ampang.

Menurut adiknya, Shamsidah Ismail, 57, tahap kesihatan abangnya menurun apabila secara tiba-tiba diserang sakit kepala selain mengalami kebas seluruh badan.

“Along (Isma) mengadu sakit kepala serta berasa kebas pada bahagian tangan dan kakinya.

Saya bergegas hantar dia ke hospital dan dia ditahan di wad sebelum hari ini ditidurkan.

“Ini adalah kali pertama perkara sebegini terjadi kepadanya, memang ada dia mengadu lenguh-lenguh tetapi tak sangka sampai macam ini sekali,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Bagaimanapun, Shamsidah menzahirkan rasa syukur kerana doktor memaklumkan  Isma atau nama sebenarnya, Muhammad Latiff Ismail sudah tidak perlu bergantung kepada bantuan oksigen.

Tadi doktor baru sahaja maklumkan kepada kami bahawa Along dah tak perlu bantuan oksigen.

“Setakat ini dia kuat untuk bernafas sendiri dan doktor mahu memantau dulu perkembangannya nanti.

Malam tadi, tahap oksigennya menurun dan doktor terus tidurkan kerana jantung bengkak serta paru-paru pula ada kuman disebabkan jangkitan selepas terkena strok.

“Tetapi apabila doktor maklumkan dah tak pakai oksigen, saya lega,” katanya.

Sementara itu, Shamsidah memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan yang terbaik buat abang kesayangannya itu.

Apa-apa nanti saya maklumkan semula. Buat masa sekarang, mohon doakan Along supaya kuat dan kembali sembuh seperti sedia kala.

“Minta selitkan nama abang saya dalam doa anda semua ketika solat, moga dia boleh kembali tersenyum,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok