Padu, vokal Afgan membuai emosi

PERCATURAN dan syarat yang diletakkan penyanyi asal Indonesia, Afgan untuk konsert yang kesekian kali di Malaysia, Afgan Live In Concert With Orchestra berlangsung dengan iringan pemuzik orkestra tempatan ternyata menjadi dan membuahkan hasil.

Mana tidaknya, persembahan yang berlangsung pada 2 Disember lalu di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) meninggalkan senyuman tanpa puas buat sekitar 3,000 peminat.

Afgan mahu persembahan kali ini diiringi pemuzik orkestra kerana mahu menampilkan kelainan sementelah belum pernah mengadakan konsert diiringi pemuzik bertaraf dunia itu.

Saya sudah beberapa kali menjayakan konsert di sini (Malaysia).

“Untuk edisi kali ini, memang saya sendiri yang minta supaya persembahan saya diiringi dengan pemuzik orkestra dari Malaysia,” kata Afgan.

KONSERT yang berlangsung selama lebih dua jam itu meninggalkan memori manis buat Afgan apabila pertama kali bergabung dengan pemuzik orkestra tanah air.

Hanya selang masa setahun selepas kali terakhir selepas menjayakan konsertnya berjudul Afgan Evolution Kuala Lumpur pada tahun lalu, penyanyi berlesung pipit itu tidak mengambil masa yang lama untuk kembali ke negara ini mengubati kerinduan peminat dengan lantunan vokal lunaknya.

Seisi ruang dewan penuh sesak dengan kehadiran peminat setianya, bukan sahaja dari Malaysia, bahkan juga dari Singapura, Brunei dan Indonesia sendiri, sekali gus membuktikan aura penyanyi berusia 34 tahun itu masih kuat.

Tepat pukul 8.30 malam, penyanyi dengan nama lengkap Afgansyah Reza membuatkan seluruh dewan berteriak, saat muncul mendendangkan lagu pembuka tirai berjudul Mengertilah Kasih.

Sengaja lagu berentak rancak itu dipilih sebagai ‘pemanas badan’ untuk merancakkan lagi suasana selain mahu memancing semangat penonton supaya tidak lena.

Terus menghangatkan suasana malam, Afgan tidak sempat duduk apabila terus mendendangkan lagunya berjudul Ada sehingga membuatkan penonton terbuai-buai dengan kelunakan vokalnya sebelum memberikan sedikit ucapan, tanda penghargaan buat peminatnya yang hadir pada malam tersebut.

Alhamdulillah, kita bertemu lagi Malaysia. Kangen (rindu) sama saya? Saya juga kangen sama kamu.

“Tahun lalu di pentas yang sama, saya berada di sini selepas empat tahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia.

Ternyata jodoh kita masih ada apabila saya kembali lagi ke sini untuk menghiburkan kamu semua.

“Terima kasih kerana masih setia menyokong perjalanan seni saya di sini,” katanya sambil disambut sorak hadirin.

SEBAGAI penghibur yang disayangi ramai, Afgan tidak melepaskan peluang untuk turun ke pentas supaya lebih dekat dengan penggemarnya.

Pentas persembahan yang ‘hangat’ dihujani dengan lampu neon berona jingga memanaskan lagi pentas persembahan tatkala Afgan menyanyikan seleksi dua buah lagu berbahasa Inggeris miliknya berjudul Brand New Day dan Rollercoaster.

Terkenal dengan lagu-lagu bertemakan ‘galau’, Afgan meneruskan persembahan dengan menarik emosi untuk menghayati persembahannya menerusi lagu Pendam, Kunci Hati dan Untuk Aku Bertahan, sekali gus membangkitkan rasa romantis seisi dewan.

Lagu ‘wajib nyanyi’ yang harus didendangkan Afgan tentulah lagu Kumohon milik penyanyi terkenal negara, Datuk Sheila Majid yang pernah dirakam kembali olehnya, sembilan tahun lalu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok