Nora Ariffin realisasikan impian Johan Nawawi

TIGA dekad mengukir nama sebagai penyanyi, Datuk Nora Ariffin kini enggan periuk nasinya hanya bergantung harap kepada satu punca pendapatan sahaja

Menyimpan impian untuk mengukuhkan lagi penjenamaan di bawah syarikat sedia ada iaitu Secukup Rasa Empire, pelantun lagu Samudera itu muncul dengan rangkaian produk makanan dengan mengambil inisiatif mengeluarkan pes masakan menggunakan resipi turun-temurun.

Resipi istimewa ­keluarga

Katanya, proses menghasilkan pes masakan tersebut dilakukan dengan penuh teliti agar kualitinya terjaga dan rasanya juga memuaskan hati pelanggan.

Menariknya, penghibur berusia 50 tahun itu sendiri turut terlibat dalam proses penghasilan produk tersebut dari awal hingga akhir termasuk merancang rekaan logo, look and feel serta strategi promosi dan pemasarannya.

“Idea menghasilkan pes masakan ini muncul sebelum saya menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-50 pada Julai lalu. Saya terfikir sampai bila saya nak menyanyi? Pada usia 50 tahun, saya perlu berbuat sesuatu.

“Kebetulan Allah SWT sudah aturkan saya pulang ke Kelantan dan bertemu dengan sepupu saya. Kedua-dua belah keluarga saya memang mempunyai latar belakang dalam bidang katering secara besar-besaran.

“Selepas berbincang, mereka juga mahu meluaskan lagi bisnes mereka dan akhirnya kita bekerjasama mengeluarkan produk pes masakan di bawah jenama Secukup Rasa By Nora melalui sebuah lagi syarikat yang saya usahakan iaitu Secukup Rasa Empire,” ujarnya.

Mempunyai visi memasarkan produknya ke luar negara sebagai makanan keluaran syarikat bumiputera, Nora berkata, hal itu hanya akan dicapai setelah dia memiliki modal yang besar serta bantuan daripada agensi kerajaan.

Untuk peringkat yang pertama ini, kita hanya tumpukan dahulu pada pasaran Malaysia melalui jualan secara online di platform e-dagang, Shopee. Pembelian secara terus (direct) juga diterima.

“Penjualan melalui ejen kita belum buka lagi kerana mahu memastikan sistem jualan kita secara online dapat diselaraskan dengan baik.

“Saya juga mahu cuba sedaya upaya untuk memasarkan jenama produk saya ini ke Singapura dan Brunei. Itu nanti, kita memang perlukan ejen,” katanya.

PES masakan Secukup Rasa By Nora itu menawarkan dua jenis resipi masakan iaitu Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna yang cukup mudah digunakan oleh golongan berkeluarga mahupun bujang.

Kata Nora, jenama Secukup Rasa By Nora sebetulnya dicetuskan Allahyarham Johan Nawawi pada tahun 2000.

Allahyarham menyimpan impian untuk melihat dirinya membuka kafe Secukup Rasa suatu hari nanti kerana memahami minat memasak isterinya.

Pada tahun 2001, Nora muncul dengan buku masakannya, Secukup Rasa By Nora dengan tagline ‘Pikat Untuk Yang Tersayang’ yang disasarkan kepada golongan yang baru belajar memasak.

Di bawah jenama sama, ibu kepada empat orang anak itu mengeluarkan kek dan biskut raya pada bulan puasa.

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nora mencetuskan idea untuk membuat penghantaran nasi kerabu, nasi dulang serta rendang tok.

“Waktu itulah saya menyedari betapa kuatnya jenama Secukup Rasa By Nora itu.

“Jenama itu memang saya pegang kerana berdaftar dengan MyIPO.

“Arwah Johan pernah ajar, kalau saya nak buat bisnes, kena ada Harta Intelek atau Intellectual Property (IP).

“Kena buat proposal dan kena ada Return of Investment (ROI). Itulah kata-katanya yang saya pegang sampai sekarang” katanya.

Orang ramai boleh dapatkan Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna Secukup Rasa By Nora di platform e-dagang, Shopee melalui pautan shopee.com.my/noraariffin.os.

Kalau tiada aral melintang, Nora ingin sekali melihat kemajuan bisnesnya untuk pasaran yang lebih meluas di luar negara.

caption

PES masakan Secukup Rasa By Nora itu menawarkan dua jenis resipi masakan iaitu Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna yang cukup mudah digunakan oleh golongan berkeluarga mahupun bujang. – SHAHRIL AZMAN MOHD. ZAIN

NORA mempunyai visi besar untuk memasarkan jenama produknya ke luar negara sekali gus membawa nama Malaysia sebagai makanan keluaran syarikat bumiputera yang berkualiti tinggi.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok