TINDAKAN syarikat rakaman Warner Music Malaysia menamatkan kontrak penyanyi Kaka Azraff baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai yang rata-ratanya kurang bersetuju dengan perkara tersebut.
Bagi mereka, kelantangan Kaka menyuarakan keprihatinannya terhadap Palestin adalah satu hal yang terpuji selain menasihatkan penyanyi itu tidak patah semangat hanya kerana kontraknya ditamatkan.
“Rezeki ada di mana-mana Kaka, tidak mengapa sebab awak mempunyai pakej rupa dan suara yang bagus. Teruskan bersuara mengenai Palestin.
“Mungkin ini ujian untuk Kaka yang mengeji kekejaman zionis. Semoga usaha jihadnya dibalas dengan pahala berlipat kali ganda,” komen netizen.
Dalam pada itu, terdapat juga yang menyuarakan hasrat untuk memboikot segala produk seni hasil terbitan Warner Music.
Perkara itu turut disuarakan penyanyi, Hattan yang pernah bernaung di bawah syarikat rakaman sama juga berpendapat memboikot produk Warner adalah tindakan yang tepat ketika ini demi solidariti kepada bumi Palestin.
“Saya pernah bernaung di bawah Warner tetapi ketika ini bos turut bersuara mengenai Palestin dan tiada sesiapa yang marah dan berani dengan kami.
“Saya tidak peduli walaupun Warner pernah menaungi saya. Mari kita boikot, walau apapun alasan mereka demi solidariti untuk Palestin,” ujarnya.
Semalam, Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. akhirnya mengeluarkan kenyataan berupa alasan kontrak Kaka terpaksa ditamatkan kerana penggunaan bahasa yang digunakan ketika dia meninggalkan komen terhadap pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic, beberapa minggu lalu.
Sementara, Kaka dalam satu sidang media pula menuntut syarikat rakaman Warner Music Malaysia memberi penjelasan berhubung penamatan kontraknya secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan munasabah.
Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 34, berkata, notis yang diterima sebelum ini tidak menyatakan sebarang alasan label terbabit menamatkan perjanjian mereka pada 31 Disember ini. – HIBGLAM