PENYANYI Naqiu terpaksa menangguhkan dahulu perancangannya untuk berjumpa dengan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat bagi mendapatkan nasihat dan memeriksa kota suaranya selepas mengalami parut kekal pada pita suara (vocal cord) ketika konsert akhir All Stars Gegar Vaganza (GV10) lalu.
Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib berkata, dia perlu menyelesaikan beberapa komitmen membuat persembahan yang telah dipersetujui lebih awal, sebelum berjumpa dengan Syafinaz.
“Tentang perancangan untuk berjumpa dengan Tok Naz (panggilan Datuk Syafinaz) untuk memeriksa keadaan kotak suara, saya perlu tangguhkan dahulu kerana perlu menyelesaikan beberapa komitmen lain yang telah dipersetujui awal.
“Saya ada beberapa persembahan yang perlu diselesaikan. Selepas tamat GV10, saya fokus untuk Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) pula. Jadi saya belum ada masa lagi untuk berjumpa dengan Tok Naz,” ujar Naqiu.
Kata penyanyi berusia 37 tahun itu lagi, dia bimbang jika pemeriksaan pada kota suaranya nanti, memerlukan dirinya untuk berehat daripada menyanyi atas saranan doktor, sekali gus mengganggu urusannya untuk membuat persembahan pentas seperti yang telah dirancang.
“Sebab saya tidak tahu mungkin doktor akan suruh saya berehat daripada menyanyi. Jadi saya kena selesaikan dahulu komitmen-komitmen yang telah saya janjikan.
“Apa-apa pun saya memang akan berjumpa dengan Tok Naz seperti yang dia minta,” jelasnya.
Ketika konsert akhir GV10 baru-baru ini, Syafinaz telah mempelawa Naqiu untuk memeriksa keadaan kotak suaranya, memandangkan penyanyi itu mendedahkan mengalami masalah parut pada pita suara (vocal cord) kekal. – HIBGLAM