Mutu vokal dipertikai, Syada Amzah tak ambil hati

MESKI video nyanyiannya dikecam, penyanyi Syada Amzah tidak berkecil hati sebaliknya berlapang dada menerima segala cacian yang dilempar netizen.

Ujar pemilik nama penuh Nursyuhada Amir Amzah itu, dia mengerti ramai tidak berpuas hati dengan konflik keluarganya sebelum ini sehingga melepaskan kemarahan terhadap video nyanyian yang tidak ada apa-apa kaitan denga isu terbabit.

“Video saya dikecam mungkin sebab isu lama (konflik keluarga). Saya faham mereka masih lagi terasa hati. Jadi, benda yang tiada kaitan pun jadi isu.

Saya tidak salahkan netizen, kalau saya jadi orang luar mungkin akan rasa benda sama walaupun itu bukan niat sebenar saya.

“Jauh sekali untuk mencari publisiti, kalau saya mahu berbuat demikian, saya akan cari pihak media. Saya tak rasa saya tagih perhatian, paling penting niat kita,” katanya dalam sebuah program hiburan.

Enggan patah semangat hanya kerana teruk dikecam, adik kepada penyanyi Shila Amzah itu bagaimanapun menghargai setiap komen netizen selain bangga dengan perjalanan kariernya sebagai penyanyi.

“Sejujurnya saya sedikit pun tidak terasa, kita hanya manusia biasa dan saya sendiri pun tak harap semua orang sukakan saya.

Lagu tamil dan arab adalah lagu paling susah dinyanyikan. Mungkin netizen komen untuk sakitkan hati tapi bagi saya itu satu pujian.

“Saya sebenarnya sudah sampai tahap bernafas pun orang tak suka. Tapi, mungkin mereka tidak mengenali saya. Kalau kenal rapat, saya orangnya jenis mudah buat kawan,” katanya panjang lebar.

Selain isu keluarga, mutu vokal Syada juga menjadi bahan pertikaian ramai selepas menyanyikan lagu Arab berjudul Kalam Eineh.

Rata-rata netizen meminta Syada berhenti menyanyi dan akur bakatnya tidak setanding kakaknya yang berjaya menempa nama di luar negara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok