Mungkin jantungnya terhenti, suami Amyza Aznan ditidurkan

BERDEPAN saat cemas yang memungkinkan situasi lebih buruk, pelakon Amyza Aznan reda apabila suaminya, Khairil Idzhar Mohd. Nazir terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang, awal pagi tadi.

Menurut Amyza, 47, suaminya, berdepan saat kritikal selepas mengalami sesak nafas semalam.

“Semalam suami saya ke klinik selepas mengalami kesukaran untuk bernafas, kemudian doktor terus memberikan bantuan pernafasan dan menghubungi talian kecemasan Hospital Ampang.

“Ketika dia ditempatkan di zon merah, bacaan tekanan darahnya agak tinggi. Namun, mula turun hingga ke paras normal.

“Tetapi kira-kira pukul 7 pagi tadi, hospital menghubungi memaklumkan suami saya terpaksa ditidurkan,” katanya.

Pelakon drama Budak Tebing itu menjelaskan, dia sudah menandatangi surat kebenaran supaya suami dapat menjalani dialisis selepas disahkan mempunyai masalah buah pinggang.

“Malah, suami saya juga terpaksa menjalani dialisis selepas buah pinggangnya tidak dapat berfungi.

“Saya juga baru menandatangani surat kebenaran tersebut pada hari ini kerana ada kemungkinan menyebabkan jantungnya terhenti.

“Jika saya tidak bersetuju untuk pilihan itu, kemungkinan akan menyebabkan kegagalan berfungsi pada organ lain juga,” jelasnya.

Anak kelahiran Melaka itu turut memohon doa orang ramai buat kesihatan suaminya supaya pulih seperti sediakala.

“Dalam keadaan sekarang, saya mohon orang ramai untuk mendoakan suami saya cepat sembuh.

“Mungkin doa kalian Allah makbulkan dan beri kesembuhan kepada suami saya yang sedang bertarung nyawa sekarang,” jelasnya. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok