Muka lawa, perangai ‘hodoh’!

BERBEKALKAN wajah tampan dan jelita, ramai selebriti K-Pop kelihatan serba sempurna bagai tiada cacat cela.

Tampil lengkap dengan pakej rupa dan perwatakan menarik di hadapan kamera, namun adakah itu sebenarnya sifat hakiki perwatakan mereka sebenar-benarnya?

Enggan berteka-teki sekali gus menoktahkan puluhan tanda tanya, Kimchi Panas minggu ini membariskan beberapa selebriti Korea Selatan yang mempunyai perangai buruk dan masalah tingkah laku.

Sorn

Bekas anggota kumpulan CLC, Sorn terpaksa berdepan tohmahan dan caci maki netizen apabila terlanjur membuat satu hantaran yang disifatkan berunsur perkauman.

Tindakan Sorn memuat naik foto dirinya bersama tiga rakan lain sambil memakai topeng wajah berkulit hitam dikecam bertalu-talu netizen yang menyifatkan perbuatan tersebut berunsur perkauman.

Peminat meminta idola berumur 27 tahun itu untuk segera memadam hantaran tersebut namun tidak dihiraukan.

Lebih teruk, dia menganggap peminat terlalu ‘hati tisu’ dan tidak boleh dibawa bergurau langsung.

Bagaimanapun, Sorn terpaksa akur dan tunduk dengan netizen yang ingin memboikot kerjaya seninya.

Dia membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji akan lebih berhati-hati ketika bergurau.

Amber

Anggota kumpulan f(x), Amber sudah beberapa kali mencetus kontroversi disebabkan tingkah laku buruknya.

Bagaimanapun, dia kerap melakukan permohonan maaf terhadap umum, namun masih mengulangi kesalahan yang sama.

Wanita berperwatakan seperti lelaki itu pernah dikecam kerana komen lantangnya yang bersifat rasis. Dia telah meluahkan pendapatnya mengenai sebuah video yang menunjukkan polis berkulit putih menangkap lelaki berkulit hitam kerana memakan sandwic dalam kereta api bawah tanah.

“Aku rasa dia layak mendapat hukuman seperti itu, sesuai muka kau!,” komen Amber.

Susulan itu, idola berusia 31 tahun itu dihambur pelbagai kecaman dan disifatkan jahil kerana tidak memahami isu perkauman dan keganasan polis berkulit putih terhadap orang berkulit hitam di Amerika Syarikat.

Irene

Anggota kumpulan Red Velvet, Irene juga juga tidak terlepas daripada melakukan tingkah laku yang memalukan diri sendiri.

Menurut sebuah laporan media Korea Selatan, editor bernama Kang Kook-hwa memberitahu khalayak bahawa terdapat seorang artis K-Pop pernah menyerangnya secara lisan dan melontarkan perkataan kesat terhadapnya.

Disebabkan insiden tersebut, wanita itu merasa maruahnya bagai dipijak. Begitupun, Kook-hwa enggan memberitahu secara terperinci maklumat artis tersebut sekali gus membiarkan orang ramai terus berteka-teki.

Apa yang menariknya, tidak lama selepas itu, Irene Red Velvet tampil mengakui kesalahannya selain melakukan permohonan maaf secara terbuka terhadap wanita terbabit melalui satu hantaran dalam media sosial.

Lee Hong-bin

Pada tahun 2020, Hong-bin memutuskan untuk keluar dari kumpulan yang pernah menaikkan namanya iaitu Vixx kerana terpalit isu menghina kumpulan K-Pop lain seperti Exo, SHINee, Infinite, Red Velvet dan ONF menerusi siaran langsung dalam platform media sosialnya.

Dia difahamkan pada ketika itu di bawah pengaruh alkohol dan tidak berniat menghamburkan semua kata sinis tersebut.

Bagaimanapun, setelah melakukan permohonan maaf secara terbuka, jejaka berusia 30 tahun itu seolah-olah tidak serik dan tetap kembali melakukan kesilapan serupa.

Bicaranya yang berbentuk sarkastik dalam setiap siaran langsung membuatkan peminat kurang selesa.

Enggan perkara menjejaskan nama kumpulan, ahli lain seperti Leo dan Ravi meminta maaf terhadap semua peminat di atas kelantangan tidak bertempat Hong-bin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok