‘Muka awam’ kelebihan buat pelakon – Amir Ahnaf

Dilabel ‘muka awam’, pelakon Amir Ahnaf sedikitpun tidak terasa hati sebaliknya menyifatkan wajah sedemikian memberi banyak kelebihan kepada anak seni sepertinya.

Pemilik nama lengkap Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, 23, itu berkata, pengisian yang ingin ditonjolkan dalam sesebuah drama mahupun filem memerlukan penggalas watak sama seperti dalam kehidupan realiti.

Menurutnya, isu wajah tiada tarikan pernah dibincangkan bersama rakan gandingannya dalam Projek: High Council, Mierul Aiman bahawa itu bukan satu kekurangan.

“Nak tahu sesuatu tak? Mierul pernah borak dengan saya muka awam kita ini akan banyak membantu untuk pemain melakonkan watak.

“Ini kerana dalam kehidupan seharian kita, memang tak lari daripada realiti.

Hari-hari kita tengok rupa orang awam. Jadi kita dah terbiasa dan apabila kita dah terbiasa, otak akan setting sebegitu rupa,” ujarnya menerusi ciapan di platform X.

Perkara membabitkan wajah serta ciri fizikal itu dibagkitkan aktor terbabit sebagai penjelasan terhadap komen netizen dalam media sosial mengenai penampilannya.

Pada masa sama, pelakon drama Syurga Itu Bukan Mudah terbabit percaya wajah yang dianggap tiada tarikan dapat meninggalkan kesan  lebih mendalam terhadap pemahaman penonton.

Bagi aktor yang dicungkil bakat menerusi pertandingan Hero Remaja itu, penonton dapat menjiwai kisah dengan lebih mudah disebabkan tidak fokus kepada wajah pelakon.

Ini perkara yang baik apabila ‘muka awam’ memainkan watak sebab mereka boleh mempamerkan realiti dalam bentuk karakter.

“Rasa itu lagi menusuk jiwa penonton sebab rupa paras tidak jadi perhatian. Hari-hari tengok, kau betul-betul ‘feel vibes’ nusantara tu,” ujarnya.

Sementara itu, rakan seangkatannya, Nadhir Nasar turut bersetuju dengan kenyataan berkenaan.

Kata Nadhir membalas ciapan tersebut, dalam dunia seni bakat lakonan lebih penting berbanding rupa mahupun penampilan.

“Sebenarnya, dipanggil ‘muka awam’ tetapi memiliki pengikut dengan apa yang kita sajikan di kaca tekevisyen adalah satu pujian.

“Sebab orang tak tengok paras rupa tetapi bakat yang hendak ditunjukkan. Jalan terus!,” tulisnya yang turut membintangi Projek: High Council bersama Amir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok