MK Clique lebih hidup sejak beristeri

TAKAT didih populariti lelaki dengan jenama MK K-Clique itu tidak pernah menurun. Graf kesetiaan peminat terhadap penyanyi yang memulakan kerjaya seni sejak 2014 itu bahkan semakin naik sejak mendirikan rumah tangga pada Jun lalu.

Biar baharu enam bulan bergelar suami, kehadiran suri hati Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, dirasakan benar-benar menjadi pelengkap kehidupan dan penyuntik semangat dalam kerjayanya.

Faham jiwa Hawa

Mengakui lebih bertanggungjawab dan matang, pemilik nama lengkap Muhammad Hairi Amin Hamdan itu  berharap terus mampu melayari fasa perkahwinan dengan harmoni.

“Kehidupan saya sebelum ini memang dikelilingi ramai wanita kerana saya mempunyai enam orang kakak. Dengan adanya mereka, saya rasa sudah cukup memahami golongan Hawa.

“Namun apabila memasuki alam perkahwinan, saya semakin mengerti perasaan serta emosi mereka,  sekali gus membuatkan saya lebih menghargai ibu dan adik-beradik.

“Mungkin selama ini saya ambil mudah perkara yang dianggap kecil, tetapi baru kini saya sedar perasaan seorang wanita itu halus. Cukup sekadar kita tunjuk sikap prihatin, mereka sudah gembira,” kata anak ketujuh daripada lapan bersaudara itu.

Isteri suri teladan

Aura isteri yang menunjukkan teladan dari segi percakapan dan pemakaian juga membuatkan dirinya lebih peka soal pemilihan gaya, terutama apabila  membabitkan acara rasmi. Isteri juga membuatkan MK semakin tahu apa itu batas pergaulan.

SEJAK berkahwin MK mengakui isterinya lebih popular berbanding dirinya apabila kerap
meraih perhatian ramai.

Ditanya mengenai romantika bersama isteri yang menjadi perhatian ramai pula, selebriti berusia 27 tahun itu tersenyum malu.

Katanya, dia bukan mahu menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar berkongsi momen gembira.

“Jika kegembiraan kita boleh menyuntik inspirasi kepada pasangan lain, saya rasa tidak salah berkongsi perkara itu dalam media sosial kerana tafsiran kebahagiaan setiap orang berbeza-beza.

“Bahagia kami adalah apabila berpeluang menikmati masa berkualiti bersama-sama biarpun ketika saya sibuk memenuhi komitmen kerja, kami tetap curi-curi masa keluar berdua sekejap.

“Tetapi apa yang saya tunjukkan dalam media sosial pun ada had sebab saya kena jaga privasi isteri memandangkan dia bukan artis, dia masih perlukan ruang peribadi,” tambahnya.

Pada masa sama, MK mengakui populariti Siti Hajaar kini melebihi dirinya apabila peminat lebih mahu bergambar dengan si isteri saat berada di tempat umum.

Kebelakangan ini juga, banyak jenama produk turut berminat menjalin kerjasama bersama peneman hidupnya itu.

“Saya tumpang gembira apabila isteri mendapat perhatian, khususnya golongan wanita yang menyukai keperibadian dan gaya pemakaiannya.

“Kalau jadi contoh untuk perkara positif memang tidak mengapa, begitu juga untuk bergelar duta produk. Saya beri lampu hijau. Kalau benda baik saya tiada halangan.

“Cuma untuk berlakon, kita tengok dulu macam mana sebab setahu saya minat Siti Hajaar bukan ke arah itu. Setakat model iklan, dia tiada masalah.

“Kami ada berbincang soal ini dan dia ada luahkan, kalau nak berlakon drama atau filem pun, biarlah bergandingan dengan saya,” ujarnya.

Selain teruja berkongsi haluan bahagia, penyanyi yang turut ligat dalam arena lakonan itu juga menzahirkan rasa syukur apabila peminat memberi sepenuh sokongan terhadap lakonannya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok