“MENANTI untuk berkongsi momen indah bersama.”
Demikian status yang dikongsikan oleh pelakon Syafiq Kyle dalam Instagram miliknya, sekali gus memancing teka-teki netizen tentang maksud disebalik kapsyen tersebut.
Lebih membuatkan peminatnya teruja apabila pelakon Mimi Lana turut berkongsi status dengan kapsyen hampir serupa dalam bahasa Inggeris, seolah-olah memberi bayangan mereka akan mengumumkan sesuatu yang menggembirakan.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 27, dalam Instagram miliknya, pelakon tinggi lampai itu berkongsi sekeping foto ketika berada di sebuah butik dengan kapsyen yang ditulis dalam bahasa Inggeris.
“Looking forward to sharing moments with… (tidak sabar berkongsi detik dengan…),” kongsi Mimi.
Malah, Syafiq juga berkongsi foto dirinya berada di butik yang sama dengan Mimi.
Perkongsian kedua-dua pelakon itu sekali gus menimbulkan spekulasi apabila mendakwa mereka hadir ke butik berkenaan untuk sesi ‘fitting’ baju pengantin.
Malah, ramai juga yang mendoakan agar hubungan cinta antara Syafiq atau Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 31, dan Mimi kembali terjalin semula dan berakhir ke jenjang pelamin.
“Kedua-duanya berada di lokasi yang sama. Kena Scam juga macam Janna Nick,” usik seorang netizen.
“Ok faham! Semoga segala urusan dipermudahkan,” kata seorang pengguna Instagram.
“Semoga kali ini menjadi (kahwin),” kata peminatnya.
Terdahulu, pasangan tersebut sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 18 Ogos lalu, sementara majlis resepsi mereka pula akan diadakan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang pada sebelah malamnya.
Bagaimanapun, pengurus kepada Mimi iaitu Iman Tang mengesahkan pembatalan majlis pernikahan dan resepsi pasangan tersebut atas alasan kedua-duanya terikat dengan jadual penggambaran, selain Mimi perlu menyelesaikan beberapa perkara dengan Syafiq.
Bagaimanapun, sekitar bulan lalu, Mimi dan Syafiq kembali mencuri perhatian apabila dilihat makan malam bersama, sekali gus mengundang spekulasi hubungan mereka sudah kembali terjalin.
Sebelum itu, sekitar Mei 2020 pasangan berkenaan juga pernah putus cinta selepas lima tahun bersama, tetapi kasih mereka bertaut semula tidak lama kemudian. – HIBGLAM