PENGARUH K-Pop tidak dapat disangkal lagi bahkan ramai selebriti Korea Selatan mencipta fenomena luar biasa sehigga berjaya memecah rekod di peringkat antarabangsa. Antara selebriti yang mendapat perhatian adalah Exo, Big Bang, BTS, Blackpink apabila mampu menundukkan ramai penghibur terkemuka dunia.
Pengaruh besar tersebut turut meninggalkan impak kepada peminat tegar mereka yang sanggup mengubah gaya hidup dengan berpaksikan artis kesayangan.
Bukan sekadar meniru fesyen dan trend, ada dalam kalangan pengikut terlampau taksub sehingga sanggup berlapar untuk mendapatkan susuk tubuh seperti bintang pujaan mereka.
Daebak kali ini memaparkan senarai selebriti yang berjaya memecahkan rekod hebat sekali gus digilai sentero dunia.
Psy
Lagu Gangnam Style nyanyian Psy mencuri perhatian ramai pencipta muzik sejak dilancarkan pada 2012.
Daripada lirik, melodi hingga tarian unik semuanya menjadi ikutan pelbagai golongan tidak kira muda mahupun tua.
Dengan susunan muzik ‘catchy’, suara Psy yang bersemangat dan video klip humor, Gangnam Style masih memegang rekod video muzik K-Pop paling banyak ditonton di YouTube sehingga kini.
Video klip yang dilancarkan 11 tahun lalu itu sudah mencecah 4.9 juta tontonan.
Sementara itu, lagu Ddu- Du Ddu-Du dendangan Blackpink menduduki tangga kedua dengan 2.1 juta tontonan.
IU
Perfect all-kill merupakan ayat bagi menggambarkan pencapaian terhebat sesebuah lagu dalam carta muzik Korea Selatan yang menduduki kedudukan nombor satu sepanjang masa.
Tidak mudah bagi anak seni berada di tahap itu kerana karyanya harus didengar ramai orang setiap masa, namun IU berjaya memecah rekod berkenaan.
Lebih membanggakan, IU merupakan satu-satunya bintang K-Pop meraih gelaran Perfect all-kill menerusi 21 lagu dendangannya.
Hal tersebut berlaku kerana dia bintang kesayangan rakyat Korea Selatan.
Lisa
SELAIN berjaya memecahkan rekod menerusi lagu Money dengan satu juta pendengar di Spotify, penyanyi Lisa turut memecah enam rekod dunia lain.
Jadi, ini membuktikan bahawa anggota kumpulan Blackpink itu mendominasi tujuh Guinness World Records.
Antara pencapaian tersebut adalah menjadi artis solo K-Pop pertama yang memenangi MTV Video Music Awards dan MTV Europe Music Awards.
Video klip lagunya di YouTube juga mencatat jumlah penonton terbanyak kurang 24 jam dilancarkan.
Malah, pengikutnya dalam Instagram juga paling ramai iaitu 99.8 juta.
Ini menunjukkan kemasyhuran penyanyi asal Thailand itu mendunia sehingga berjaya menggondol pelbagai anugerah dalam dan luar negara.
NewJeans
BUKAN sahaja artis solo, penyanyi berkumpulan juga mampu memecahkan rekod di peringkat global.
Kumpulan NewJeans menjadi perhatian penggemar K-Pop seluruh dunia berikutan lagunya yang menghiburkan.
Disebabkan itu, NewJeans menjadi kumpulan wanita K-pop baharu yang memecahkan Guinness World Records sebagai artis K-Pop paling cepat meraih satu juta pendengar di Spotify.
Rekod itu dicapai dalam masa 219 hari selepas debut sehingga mampu menundukkan penyanyi Jungkook yang mencatat satu juta pendengar dalam tempoh 409 hari. – HIBGLAM