PENYANYI Liza Hanim menafikan tuduhan tidak beretika segelintir pihak yang mendakwa tangisannya dalam sebuah video temu bual yang tular dalam media sosial disebabkan kegagalan membawa pulang gelaran juara All Stars Gegar Vaganza (GV10).
Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim, 44, menjelaskan dakwaan itu bercanggah dengan kandungan sebenar temu bual pihak media.
Saya berasakan amat perlu untuk membuat pencerahan memandangkan ramai salah anggap dan cakap saya menangis pada sidang media GV10 akhir kerana tak menang.
“Mohon dengar rakaman video penuh temu bual dan soalan yang menyebabkan saya sebak dan menangis,” katanya menerusi sebuah hantaran dalam Instagram.
View this post on Instagram
Pelantun lagu Gelisah Mimpi itu turut memohon supaya pihak yang menyebar fitnah lebih beretika dalam menjalankan tugas.
Saya mohon kepada platform berita hiburan yang tidak bertanggungjawab menyunting temu bual tersebut untuk lebih bertanggungjawab dalam soal kerja kalian.
“Jangan memberi naratif yang sememangnya salah hingga memberi gambaran negatif untuk menarik perhatian pembaca.
“Sekarang kita sudah boleh move on,” jelasnya lagi.
Terdahulu, menerusi konsert akhir GV10 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad lalu, Jaclyn Victor mengejutkan banyak pihak apabila diumumkan sebagai juara.
Liza menduduki senarai keempat dengan markah sebanyak 72.34 peratus. – HIBGLAM